suria

Sathianathan Puas Hati Pemain Dapat Tewaskan Selangor

KOTA BAHARU: Ketua Jurulatih Kelantan, B. Sathianathan nyata gembira dengan prestasi pemain yang berjaya membenam juara sebanyak 32 kali, Selangor dalam perlawanan suku akhir kedua Piala Malaysia di Stadium Sultan Muhammad Ke-IV di sini, malam tadi.

Beliau berkata kemenangan secara agregat 3-0 ke atas Red Giants itu sangat besar ertinya dan pemain Kelantan telah mempamerkan aksi terbaik mereka pada malam tadi selepas dikritik hebat sebelum ini.

"Kalau menang 1-0 pun saya gembira apatah lagi berdepan dengan Selangor dan ini semua adalah kejayaan pemain yang telah menunjukkan permainan sebenar mereka tanpa rasa tertekan berdepan Selangor.

"Pemain telah bermain habis-habisan yang telah berjaya mendapat rentak pada perlawanan malam tadi dan syabas kepada mereka," katanya kepada Bernama di sini, Sabtu.

Gol kemenangan Kelantan itu dijaringkan Mohd Nor Farhan Muhd pada minit ke-13, Akmal Rizal Ahmad Rakhli (minit ke-24) dan Mohd Badhri Md Radzi (minit ke-79).

Pada perlawanan pertama mereka di Shah Alam Selasa lalu kedua-dua pasukan hanya seri tanpa jaringan dan perlawanan itu juga telah dicemari insiden pergaduhan.

Sathianathan berkata pemain Kelantan telah menunjukkan kematangan bermain selain berjaya mengawal keseluruhan perlawanan yang menyebabkan Selangor tertekan.

"Saya harap pada perlawanan separuh akhir nanti momentum yang sama dapat dibawa dan seterusnya mara ke perlawanan akhir," katanya.

Sementara itu jurulatih Selangor, K. Devan yang ditemui selepas perlawanan malam tadi berkata Kelantan wajar menang selepas pemain beraksi cemerlang dan menyalahkan bahagian pertahanan Selangor sehingga menyebabkan pasukan itu tewas.

"Saya puji Kelantan dan mereka layak menang. Silap bahagian pertahanan dan Selangor lambat panas yang hanya nampak bangkit separuh masa kedua," katanya.

Devan berkata sokongan lebih 20,000 penyokong Kelantan juga menyebabkan pemain Red Warriors itu begitu bersemangat untuk menang.

"Saya salahkan pemain Selangor yang tidak menunjukkan permainan sebenar mereka," katanya. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Beregu Lelaki Negara Menang Emas

Artikel Lain