suria

Rosmah Gesa Bekas Atlet Mendaftar Dengan Yakeb

KUALA LUMPUR: Penaung Yayasan Kebajikan Atlet Kebangsaan (Yakeb) Datin Seri Rosmah Mansor hari ini menggesa bekas atlet negara mendaftar secepat mungkin dengan yayasan itu bagi menjamin kehidupan mereka di masa depan, terutama dari segi kewangan.

Beliau berkata kewujudan badan seperti Yakeb akan menyebabkan sebahagian kos rawatan perubatan atlet dan bekas atlet ditanggung yayasan berkenaan, jika tidak sepenuhnya, dan ini dapat mengurangkan beban mereka.

"Saya yakin pihak pengurusan Yakeb akan cuba untuk merealisasikan segala usaha untuk mengukuhkan kewangan bagi tujuan tersebut," katanya ketika berucap pada Majlis Sambutan Perayaan Atlet 1Malaysia di sini, Sabtu.

Bagaimanapun, Rosmah berkata bagi memastikan hasrat itu tercapai, kedua-dua pihak perlu berusaha.

"Jika Yakeb sahaja berusaha, sementara bekas atlet cuma menonton sahaja, (maka) adalah mustahil bagi segala usaha yang dirancang Yakeb untuk dilaksanakan," katanya.

Beliau turut berpuas hati dengan jumlah keanggotaan badan itu yang kini mencecah 1,500 orang walaupun baru dua tahun ditubuhkan.

Katanya, program yang dianjurkan hari ini merupakan satu kaedah mengutip dana untuk tabung Yakeb bagi menanggung kos rawatan atlet dan bekas atlet.

Justeru, Rosmah menyeru masyarakat korporat dan orang perseorangan supaya menyalurkan sumbangan kepada Yakeb bagi membantu atlet yang banyak mengharumkan nama negara di persada dunia.

Sementara itu, beliau turut memuji kesanggupan atlet badminton yang memenangi pingat pada Sukan Komanwel 2010 di New Delhi baru-baru ini, menyumbang 20 peratus daripada wang ganjaran masing-masing kepada Yakeb.

Sejumlah RM2.5 juta berjaya dikumpul pada majlis itu.

Turut hadir Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.-BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Beregu Lelaki Negara Menang Emas

Artikel Lain