suria

Mew Choo Hanya Mampu Raih Perak

NEW DELHI: Pemain Malaysia Wong Mew Choo hanya mampu mengutip pingat perak selepas tewas kepada pemain India Saina Nehwal dalam perlawanan akhir badminton perseorangan wanita Sukan Komanwel di Kompleks Sukan Siri Fort di sini.

Bagaimanapun, pemain India itu terpaksa berhempas pulas mengalahkan Mew Choo yang menyimpan impian untuk mendapatkan pingat emas pertamanya dalam temasya itu.

"Ini merupakan permainan paling sengit," kata Saina.

Dalam separuh masa permainan, Saina sukar membaca permainan lawannya dan hilang beberapa mata di depan gelanggang dan jaring untuk memberi kemenangan 21-19 kepada Mew Choo.

"Dia pantas berlari dan mengambil setiap pukulan," kata Saina mengenai persembahan Mew Choo yang bermain di luar persembahan biasanya.

Dalam set kedua, Saina hampir tewas apabila melakukan beberapa kesilapan dan bertukar servis dengan Mew Choo beberapa kali sehingga permainan terikat 20-20.

Usaha Saina yang berhempas pulas untuk memenangi perlawanan akhirnya berbalas apabila menamatkan set kedua 23-21.

Mew Choo, 27, mula memperlahankan permainan di tengah-tengah perlawanan penentuan tetapi lawannya, terus mengutip mata.

Kemenangan menjadi milik Saina apabila pukulan Mew Choo tersangkut di jaring bagi menamatkan perlawanan dengan 21-13. Saina menangis dan meluru ke arah mentornya Pullela Gopichand.

Mew Choo gagal mengawal perasaannya kerana gagal memenuhi hasrat meraih emas tetapi rakan-rakan dan chef-de-mission Malaysia Tan Sri Abdul Halil Abdul Mutalif memujuknya.

"Saya telah cuba sedaya upaya tetapi tak ada nasib," katanya kepada pemberita kemudian selepas majlis penyampaian pingat.

Liz Cann dari England pula mendapat gangsa. - BERNAMA

Artikel Lain