suria

Malaysia Sasar Pingat Emas Pertandingan Kemahiran Peringkat Dunia

SHAH ALAM: Malaysia yakin mampu memenangi pingat emas pada Pertandingan Kemahiran peringkat dunia yang bakal berlangsung di London tahun depan, kata Timbalan Menteri Sumber Manusia Datuk Maznah Mazlan.

Beliau berkata antara bidang yang akan diberi tumpuan pada pertandingan itu ialah automotif sejajar dengan usaha sama yang dijalankan antara kementerian itu dengan Proton Holdings Bhd.

"Kita yakin dengan diterajui kepakaran yang dimiliki Proton kita mampu menempa nama dan berjaya pada pertandingan di peringkat dunia itu nanti," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Pertandingan Kemahiran Malaysia ke-19 peringkat akhir di sini, Jumaat.

Beliau berkata sebelum melangkah ke peringkat dunia, Malaysia akan berdepan cabaran di peringkat Asean di Bangkok, Thailand yang dijangka berlangsung November ini.

Seramai 162 peserta mengambil bahagian pada Pertandingan Kemahiran Malaysia peringkat akhir kali ini.

Pelbagai bidang kemahiran dipertandingkan seperti teknologi maklumat, seni reka grafik, seni reka bentuk, aplikasi perisian, kimpalan, teknologi automobil dan pemasangan elektrik.

Terdahulu, Maznah berkata persepsi bidang kemahiran sebagai pilihan kedua sudah tidak relevan kerana bidang itu kini merupakan satu keperluan dalam pasaran bidang kerja.

Pada masa ini hanya 28 peratus atau 3.3 juta dari 11.8 juta tenaga kerja di Malaysia merupakan tenaga kerja mahir, katanya.

Beliau berkata usaha yang lebih giat perlu dilaksana bagi mencapai sasaran 40 peratus tenaga mahir atau 5.8 juta pada 2020. - BERNAMA

Artikel Lain