suria

KBS Kaji Semula Acara Sukan 'Road To London 2012'

KUALA LUMPUR: Kementerian Belia dan Sukan akan mengkaji semula jumlah acara sukan yang berada di bawah program 'Road To London 2012' berdasarkan pencapaian Sukan SEA di Laos, Sukan Komanwel di New Delhi dan Sukan Asia di Guangzhou.

Menterinya, Datuk Ahmad Shabery Cheek berkata ketika ini empat jenis sukan termasuk dalam program tersebut yang bertujuan mencari pingat emas pertama Malaysia daripada Sukan Olimpik iaitu badminton, memanah, berbasikal dan terjun.

"Selepas Sukan Asia di Guangzhou pada Nov ini, kita akan kaji semula jumlah sukan dalam program tersebut, sama ada menambah atau mengurangkannya," katanya kepada Bernama, di sini, Jumaat.

Beliau berkata berdasarkan pencapaian di Sukan SEA Laos pada 2009 dan Sukan Komanwel di New Delhi yang berakhir semalam, kajian segera perlu dilakukan terhadap prestasi pemanah negara yang gagal menyerlah dalam kedua-dua temasya tersebut.

"Di Sukan SEA Laos, hanya Cheng Chu Sian yang mendapat emas (acara 70m recurve individu lelaki) tetapi di New Delhi, memanah hanya menyumbang satu perak dari trio Muhammad Izzuddin Abdul Rahim, Cheng Chu Sian dan Arif Farhan Ibrahim Putra (recurve lelaki berpasukan).

"Dalam masa yang sama, acara baru seperti gimrama mendapat satu emas, sekaligus memecah dominasi England," katanya. Ahmad Shabery berkata atlet bagi keempat-empat acara dalam program tersebut kini berpeluang menyerlah pada Sukan Asia yang akan berlangsung dari 12 hingga 27 November ini.

Ketika ini, seramai 19 atlet elit daripada empat sukan termasuk dalam program Road to London, antaranya pemain badminton lelaki nombor satu dunia, Datuk Lee Chong Wei, pelumba berbasikal kategori keirin Mohd Azizulhasni Awang, dua penerjun Yeoh Ken Nee, Bryan Nickson Lomas dan pemanah Cheng Chu Sian.

Kesemua atlet tersebut menerima elaun RM2,000 sebulan sehingga Olimpik 2012 di London. -BERNAMA

Artikel Lain