suria

KAFA Jamin Keselamatan Penonton

KUALA LUMPUR: Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA) memberi jaminan bahawa soal keselamatan penonton akan diberi keutamaan menjelang suku akhir kedua Piala Malaysia antara Kelantan dan Selangor di Stadium Sultan Muhammad ke-IV, Kota Baharu, Jumaat.

Presiden KAFA, Tan Sri Annuar Musa Annuar, berkata pihaknya akan meningkatkan tahap keselamatan dengan pemeriksaan ketat dilakukan di setiap pintu masuk dan juga di kawasan letak kereta di stadium berkenaan.

"Kita akan pastikan kawalan ketat dengan pasukan polis, RELA dan Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU) melakukan rondaan," katanya ketika dihubungi Bernama, Khamis.

Annuar, yang juga Timbalan Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), berkata penyokong kedua-dua pasukan juga akan diasingkan dalam stadium.

Pada pertemuan suku akhir pertama di Stadium Shah Alam, Selasa lalu, Kelantan berjaya mengikat Selangor tanpa jaringan tetapi berlaku kekecohan di kalangan penyokong kedua-dua pasukan di luar stadium.

Tahun lepas, FAM mendenda KAFA sebanyak RM90,000 selepas penyokong pasukan itu merusuh dan merosakkan lapan buah kenderaan di luar stadium berkenaan selepas perlawanan separuh akhir Piala FA menentang Negeri Sembilan.

Artikel Lain