suria

Malaysia Cipta Sejarah Sukan Komanwel Di New Delhi

NEW DELHI: Malaysia melakarkan sejarah di ibu negara India apabila mengumpul bilangan pingat emas paling tinggi dalam Sukan Komanwel dalam edisi ke-19 di sini. Selepas melabuhkan tirai Sukan Komanwel New Delhi di sini Khamis, Malaysia menghasilkan 12 butir emas iaitu melepasi sasaran 10 emas yang dimenangi ketika menjadi tuan rumah temasya itu di Kuala Lumpur pada 1998. Kontinjen Malaysia seramai 200 atlet dan pegawai itu berjaya membawa pulang kilauan emas menerusi sukan badminton iaitu empat emas, dua butr emas masing-masing dari sukan menembak, angkat berat manakala sebutir emas dari sukan berbasikal acara trek, skuasy, terjun dan gimrama.

"Ini adalah rekod terbaik di luar negara selepas 1998. Kami telah mencipta sejarah dan memperbaiki rekod di sini," kata Chef-de-Mission Tan Sri Abdul Halil Abd Mutalif kepada wartawan Malaysia di sini.

Pemain badminton negara tidak memberi peluang kepada pihak lawan untuk menjuarai tiga daripada lima pingat yang dipertandingkan hari ini.

Pemain perseorangan wanita, Wong Mei Choo terlepas pingat emas apabila tunduk kepada pemain tuan rumah Saina Nehwal 19-21, 23-21, 21-13.

"Saya cuba sedaya upaya tetapi tidak bernasib," itu luahan Mei Choo selepas perlawanan akhir itu.

Di sebalik pencapaian terbaik negara, New Delhi juga menyaksikan kontinjen negara mengharungi detik-detik yang amat mencabar dengan acara sukan yang menjadi sandaran emas gagal sama sekali.

Misalnya, acara boling padang gagal menyumbang pingat manakala lima anggota skuad olahraga gagal memperbaiki pencapaian peribadi terbaik masing-masing.

Prestasi sukan hoki lelaki menghampakan apabila menduduki tangga kelapan daripada 10 pasukan, jauh daripada pencapaian pingat gangsa pada edisi 2006 di Melbourne, Australia.

Bagaimanapun, sukan yang tidak menjadi sandaran pingat melakukan kejutan serta menyelamatkan maruah negara dalam beberapa venue pertandingan.

Berikutan pencapaian negara di New Delhi, pegawai dan penggubal dasar sukan negara perlu melihat hasil kutipan pingat secara keseluruhan selepas ada beberapa sukan tidak dapat menampilkan atlet berwibawa seperti atlet olahraga.

Saingan di peringkat Sukan Asia di Guangzhou, China, bulan depan, dapat memberi gambaran lebih jelas tentang tahap dan mutu atlet negara.

Mengimbas kembali prestasi atlet di New Delhi, hanya tiga rekod kebangsaan dalam acara renang diperbaharui walaupun Malaysia mengambil bahagian dalam 14 jenis sukan di sini.

Sukan Komanwel di sini menyaksikan dominasi kontinjen Australia dengan mengumpul 74 pingat emas diikuti India dengan 38 emas dan England dengan 37 emas di tempat ketiga. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain