suria

Kejayaan Di New Delhi Perlu Diteruskan Di Guangzhou, Kata Ahmad Shabery

KUALA LUMPUR: Semangat dan kejayaan kontinjen Malaysia mengutip 12 pingat emas, sekaligus melepasi sasaran awal 10 emas, daripada Sukan Komanwel di New Delhi, perlu diteruskan ke Sukan Asia di Guangzhou bulan depan, kata Menteri Belia dan Sukan Datuk Ahmad Shabery Cheek. Berpuas hati dengan pencapaian itu, beliau berkata kejayaan membuat kutipan tertinggi dalam sejarah penglibatan negara di kejohanan sukan itu dalam pelbagai acara menunjukkan Malaysia kini tidak terlalu bergantung kepada satu-satu jenis sukan sahaja.

"Sebelum ini, Malaysia mengharapkan ungutan emas daripada acara badminton, boling padang dan angkat berat tetapi di New Delhi, Malaysia dapat mengutip emas dalam acara berbasikal, gimrama dan skuasy," katanya.

Kontinjen negara di New Delhi mengutip 12 pingat emas sejak temasya empat tahun sekali ini bermula pada 3 Okt dan merupakan kutipan emas terbaik sejak Malaysia mula menyertai Sukan Komanwel di Cardiff, England pada 1958.

Keseluruhanya, kontinjen negara mengutip 12 emas, 10 perak dan 13 gangsa ketika tirai Sukan Komanwel mula dilabuhkan malam Khamis.

Emas terakhir Malaysia disumbangkan oleh pasangan beregu nombor satu dunia, Koo Kien Kiat/Tan Boon Heong yang menumpaskan beregu England, James Roberston/Anthony Clark 21-19, 21-14.

Kutipan emas terbanyak Malaysia sebelum ini adalah pada edisi di Kuala Lumpur pada 1998 dengan 10 emas sementara bagi edisi di luar negara, kutipan terbaik ialah di Manchester pada 2002 dengan tujuh emas dan di Melbourne pada 2004, dengan jumlah emas yang sama.

Ahmad Shabery bagaimanapun agak terkilan dengan beberapa sukan seperti memanah dan boling padang yang gagal mengutip emas di New Delhi.

Ditanya adakah atlet-atlet negara mampu untuk meneruskan pencapaian cemerlang di Sukan Asia yang akan berlangsung dari 12 hingga 27 Nov ini, beliau berkata kontinjen negara mampu untuk mencapai sasaran sembilan emas dari Guangzhou.

"Ada sukan seperti badminton, yang menjadikan Sukan Komanwel sebagai medan pemanas badan sebelum ke Guangzhou memandangkan saingan bagi acara tersebut pada Sukan Asia lebih getir dengan kehadiran China, Indonesia dan Korea Selatan.

"Bagaimanapun saya optimis kontinjen negara mampu melepasi sasaran sembilan emas di Guangzhou. Kutipan terbaik Malaysia sebelum ini adalah lapan emas dari edisi di Doha, Qatar pada 2006," katanya. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain