suria

Gagal Di New Delhi, Hafiz Idam Pingat Di Guangzhou

SEPANG: Pulang tanpa sebarang pingat selepas tewas kepada pemain kurang ternama dari India pada Sukan Komanwel di New Delhi, Muhammad Hafiz Hashim kini mengidam untuk memburu pingat Sukan Asia di Guangzhou, bulan depan. Tugas itu ibarat mendaki gunung yang tinggi puncaknya.

Biarpun menyedari saingan di Sukan Asia lebih sengit terutama dari negara kuasa badminton dunia seperti China, Indonesia dan Korea Selatan, pemain lelaki perseorangan kedua negara itu tetap yakin dapat meraih pingat dari temasya tersebut.

"Keyakinan ini hadir kerana persaingan di sana adalah lebih mencabar berbanding di New Delhi," katanya kepada Bernama setibanya di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dari New Delhi, Khamis.

Dalam acara badminton perseorangan lelaki di peringkat suku akhir, Muhammad Hafiz ditewaskan oleh pemain India, Kashyap Parupalli 21-19, 19-21 dan 16-21.

Muhammad Hafiz berkata selepas ini beliau akan memberi tumpuan lebih kepada persiapan ke Sukan Asia.

Beliau berkata sasarannya selepas Sukan Asia adalah untuk layak ke temasya Sukan Olimpik London pada 2012 nanti.

"Saya tidak bercadang untuk bersara dari sukan badminton lagi kerana mempunyai perancangan tersendiri," katanya.

Muhammad Hafiz berkata harapan beliau adalah untuk mengharumkan nama negara di pentas dunia pada Olimpik, London 2012.

Ketika ditanya adakah dia tertekan dengan statusnya sebagai pemain perseorangan lelaki kedua Malaysia tetapi mempamerkan persembahan yang hambar, Muhammad Hafiz berkata,"Persatuan badminton Malaysia (BAM) masih lagi ketandusan pemain baru bagi menjadi pelapis kepada barisan pemain senior dan saya mungkin akan bersara selepas ada bakat baru yang boleh menganti tempat saya."

"Apa sekalipun saya serahkan kepada BAM untuk membuat keputusan kerana mereka lebih berhak untuk menentukannya," katanya.

Muhammad Hafiz pernah memperoleh pingat emas pada Sukan Komanwel 2002 di Manchester. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain