suria

"Bukan Angkatan Terbaik Saya" - Amirul Hamizan

SEPANG: Jaguh angkat berat negara, Amirul Hamizan Ibrahim berkata walaupun memperolehi pingat emas di Sukan Komanwel New Delhi, namun jumlah angkatannya yang diciptanya itu tidak sebaik yang pernah beliau lakukan sebelum ini. Anak kelahiran Rompin, Pahang ini meraih emas pertama untuk Malaysia di kejohanan tersebut, setelah membuat angkatan 116kg bagi acara snatch dan 141 kg dalam acara clean & jerk.

Angkatan terbaik beliau ialah semasa Sukan Olimpik Beijing 2008 dengan mengumpul angkatan keseluruhan seberat 267kg iaitu 146kg bagi acara snatch dan 121kg dalam clean & jerk.

"Jika bukan disebabkan kecederaan pada paha kanan, saya mungkin dapat membuat angkatan yang lebih baik.

"Bagaimanapun saya tetap bersyukur kerana masih memenangi pingat emas pertama negara pada hari pertama temasya berlangsung," katanya setibanya di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur di sini Khamis dari New Delhi.

Skuad angkat berat negara membawa pulang dua emas, satu perak dan dua gangsa selepas kejohanan berakhir hari ini.

Emas disumbangkan oleh Amirul Hamizan dalam kategori 56kg dan Aricco Jumitih (62kg), perak menerusi Naharuddin Mahayuddin (62kg) manakala gangsa menerusi Mohd Hafifi Mansor (69kg) dan Raihan Yusof (53kg wanita). Amirul Hamizan juga berkata ketika beraksi, beliau terpaksa mengambil pil penahan sakit. Mengenai prestasinya di Sukan Asia di Guangzhou, China November nanti, beliau bimbang kecederaan yang dialami sekarang akan terus menghantuinya.

"Apa pun saya akan bincang dengan jurulatih saya dan mendapatkan nasihat daripada Institut Sukan Negara sebelum membuat apa-apa keputusaan," katanya. Beliau mula mengungguli acara angkat berat semasa Sukan Komanwel Manchester 2002 dan Sukan Komanwel Melbourne 2006.

Bagi Aricco pula, beliau berkata beliau masih terkejut dan tidak percaya mampu memperolehi emas.

"Pada angkatan terakhir, saya tidak tahu berapa jumlah sebenar beban angkatan yang saya perlu angkat.

"Ketika itu saya cuma ikut arahan daripada jurulatih dan berazam untuk mengharumkan nama negara dan akhirnya saya berjaya," katanya.

Ditanya mengapa beliau memakai baju sukan negeri Sabah dan bukannya baju negara semasa di New Delhi, beliau berkata: "Saya mohon maaf kepada seluruh rakyat Malaysia kerana tidak sedar perkara tersebut.

"Warna baju yang disediakan oleh Majlis Sukan Negara adalah sama iaitu berwarna hitam seperti baju Sabah. Saya tidak sedar sehingga hari ini yang saya tersilap pakai baju".

Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Datuk Razali Ibrahim menyifatkan kejayaan Amirul Hamizan dapat memberi dorongan kepada atlet lain untuk turut memperolehi pingat.

"Saya harap kejayaan yang diperolehi oleh skuad angkat berat negara yang melepasi sasaran pungutan pingat, dapat diteruskan ke Sukan Asia di Guangzhou nanti," katanya yang turut menyambut kepulangan skuad tersebut. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain