suria

Nicol/Beng Hee Mara Ke Separuh Akhir Beregu Campuran Skuasy Sukan Komanwel

NEW DELHI: Datuk Nicol David dan gandingannya Ong Beng Hee mara ke separuh akhir acara skuasy beregu campuran Sukan Komanwel ke-19 setelah mengalahkan pasangan dari India, Joshna Chinappa dan Saurav Ghosal pada peringkat suku akhir di Kompleks Sukan Siri Fort di sini Selasa.

Dalam perlawanan pertama, Nicol/Beng Hee mengalahkan Joshna/Saurav 11-5 dalam masa 18 minit sebelum kalah 7-11 dalam perlawanan kedua yang berlangsung selama 17 minit dan memenangi perlawanan ketiga 11-7 dalam masa 19 minit selepas memberi saingan sengit.

Bercakap kepada pemberita kemudian, Beng Hee berkata beliau dan Nicol bermain dalam keadaan yang amat tertekan.

"Pada masa sama, beraksi di hadapan penonton sendiri, pasangan dari India itu turut merasai tekanan," katanya.

Beng Hee berkata antara sebab Nicol menjadi pemain nombor satu dunia ialah beliau dapat bermain dengan baik walaupun dalam keadaan tertekan.

Katanya kedua-dua mereka terlalu ghairah untuk menamatkan set kedua permainan sehingga menyebabkan mereka mengalami kekalahan.

"Dalam set ketiga permainan, kami agak lebih bijak mengatur langkah dan kembali menikmati permainan," katanya.

Mengenai sama ada beliau kecewa dengan kekalahan itu, Joshna berkata agak sukar untuk menyatakannya memandangkan sebagai pasangan beregu, mereka boleh melakukan yang lebih baik lagi.

Beliau menafikan terlalu berkeyakinan untuk menang, dengan mengatakan: "Saya bermain dalam keadaan tertekan memandangkan perlawanan ini amat penting buat saya." Suarav pula berkata: "Mungkin ada beberapa perkara yang kami boleh lakukan dengan lebih baik lagi namun mereka lebih layak menang." - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Lain