suria

Malaysia Raih Dua Pingat Emas di Chennai

LANGKAWI: Skuad pelayaran Malaysia menepati ramalan apabila meraih dua pingat emas pada kejohanan India International Regatta di Chennai yang bermula 4 Oktober sehingga Isnin.

Pengurus Besar Persatuan Pelayaran Malaysia (MYA) Mohd Afendy Abdullah berkata pingat emas pertama dimenangi menerusi Mohd Isan Ali yang mengungguli acara Optimist lelaki manakala pelayar wanita tunggal Nurul Izzatul Akmar Muhammad Ruzaimi meraih pingat emas kedua dalam acara wanita.

Katanya Malaysia menghantar empat pelayar bagi menggalas cabaran pada kejohanan itu. Seorang lagi pelayar Malaysia, Ahmad Syukri Abd Aziz menduduki tempat ketiga dan Mohamad Faizal Norizan menduduki tempat keempat dalam acara Optimist lelaki.

Beliau berkata pelayar berbakat Ahmad Latif Khan Ali Sabri Khan yang dicalon untuk pemilihan ke Sukan Asia 2010 di China November ini tidak dapat mewakili Malaysia ke Chennai kerana menduduki peperiksaan Penilaian Menengah Rendah (PMR).

Nurul Izzatul Akmar turut disenarai dalam skuad ke temasya Sukan Asia bagi acara Optimist wanita.

Mohd Afendy berkata penyertaan mereka sebagai pendedahan untuk memantapkan persiapan mereka menjelang temasya Sukan Asia itu.-BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Lain