suria

Hafiz Hashim Gagal Ke Separuh Akhir

NEW DELHI:Bekas juara All England Muhammad Hafiz Hashim terkandas dalam saingan ke separuh akhir selepas ditewaskan oleh pemain India Kashyap Parupalli 21-19, 19-21, 16-21 dalam saingan suku akhir badminton perseorangan lelaki Sukan Komanwel 2010 di Siri Fort Sports Complex di sini, Isnin.

Pemain nombor satu dunia Datuk Lee Chong Wei bagaimanapun tidak menghampakan apabila beliau menewaskan pemain Singapura Ashton Chen Yong Zhao dengan 21-13, 21-11.

Sementara itu pemain wanita harapan negara Wong Mew Choo akan meneruskan misinya merebut pingat acara perseorangan wanita apabila berjaya mara ke peringkat separuh akhir selepas menumpaskan pemain India Aditi Ajay Mutatkar 21-8, 21-12.

Beliau merupakan satu-satunya pemain negara yang berjaya mara, selepas Lydia Cheah ditewaskan dalam perlawanan peringkat preminaries.

Dalam beregu lelaki Koo Kien Keat/Tan Boon Heong mara ke peringkat separuh akhir selepas mereka berjaya menundukkan pasangan New Zealand Oliver Leydon-Davis/Henry Tam dengan 21-16, 21-13.

Satu lagi regu negara Chan Peng Soon/Muhammad Hafiz Hashim pula ditewaskan oleh pasangan England Anthony Clark/Nathan James Robertson 8-21,7-21.

Pasangan Lydia Cheah/Goh Liu Ying juga gagal ke peringkat separuh akhir beregu wanita selepas mereka ditewaskan oleh pasangan England Gabby White/Jenny Wallwork 15-21, 21-16, 13-21, dan satu lagi pasangan wanita negara Chin Ee Hui/Woon Khe Wei pula ditewaskan oleh pasangan India Jwala Gutta/Ashwini Ponnappa Machimanda 21-15, 10-21, 16-21.

Sementara itu beregu campuran negara Chan Peng Soon/Goh Liu Ying mara ke saingan separuh akhir selepas menumpaskan Chris Adcock/Gabby White dari England dengan 22-20, 16-21, 21-11.

Satu lagi beregu campuran pasangan Koo Kien Keat/Chin Ee Hui turut mara ke perlawanan separuh akhir selepas mereka menundukkan pasangan India Diju Valiya Veetil/ Jwala Gutta 21-13, 21-19. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Lain