suria

Persembahan Skuad Lebuh Raya Basikal Mengecewakan

NEW DELHI: Skuad lebuh raya basikal negara mengalami nasib malang apabila kesemua enam pelumba gagal berada di kelompok utama dalam perlumbaan 168km acara lebuh raya pada Sukan Komanwel di sini, Ahad.

Anuar Manan, Mohd Shahrul Mat Amin, Adiq Husaini Othman, Amir Mustafa Rusli, Mohd Harif Saleh dan Yusrizal Usoff gagal memberi tentangan kepada pelumba lain walaupun biasa dengan perlumbaan lebuh raya di rantau ini khususnya perlumbaan Le Tour de Langkawi.

Shahrul mengakhiri saingan di tangga ke-34, Hariff (36), Amir (42) dengan kesemunya merekodkan masa 3'57:10s manakala Adiq, Yusrizl dan Anuar gagal menamatkan perlumbaan di ibu negara ini.

Jejari rim Anuar patah dan tidak dapat meneruskan perlumbaan manakala Adiq mengalami kecederaan semasa perlumbaan.

"Kita tidak boleh meletakkan harapan tinggi kerana kesemua pelumba bertanding buat pertama kali. Kini kita menanti Sukan Asia di Guangzhou, China bulan depan," kata pengurus pasukan Amrun Misnoh kepada Bernama.

Pelumba Australia Allan Davis mempertahankan emas dengan catatan masa 3'39:48s diikuti rakan sepasukan Hayden Roulston (perak) dan gangsa diperoleh oleh pelumba Scotland David Millar.- BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain