suria

Pandelela, Mun Yee Raih Perak Acara Terjun

NEW DELHI: Dua atlet terjun negara, Pandelela Rinong dan Leong Mun Yee menyumbangkan pingat perak kepada Malaysia dalam Sukan Komanwel ke-19 di sini, Ahad.

Bertanding dalam acara Wanita 10m platform segerak di Kompleks Akuatik Dr S.P. Mukherjee di sini, gandingan itu mengumpul sejumlah 328.38 mata untuk membawa pulang pingat berkenaan.

Seorang lagi pasangan dari Malaysia, Cheong Jun Hoong dan Traisy Vivien Tukiet hanya berkesudahan di tempat kelima setelah mengumpul 316.38 mata dalam acara itu.

Emas dimenangi oleh peserta Australia, Melisa Wu dan Alexandra Croak yang mengumpul 335.76 manakala gangsa diperoleh satu lagi pasangan dari Australia, Briony Cole dan Anabelle Smith yang mengumpul 325.50 mata.

Mun Yee turut mengambil bahagian dalam acara Wanita 3m papan anjal segerak bersama pasangannya Ng Yan Yee namun mereka gagal mengutip sebarang pingat apabila hanya berada di tempat keenam dalam acara itu.

Jennifer Abel dan Emillie Heymans dari Kanada memenangi emas; manakala dua gandingan dari Australia, Briony Cole dan Sharleen Stratton serta Jaele Patrick dan Olivia Wright, masing-masing memperoleh pingat perak dan gangsa.

Yeoh Ken Nee, Bryan Nickson Lomas, dan Muhammad Fakhrul Md Zain juga gagal menyumbang sebarang pingat buat Malaysia dalam acara Lelaki 1m papan anjal apabila mereka menamatkan saingan masing-masing di tempat keempat, ketujuh dan kesebelas.

Alexandre Despatie dari Kanada meraih emas, Matthew Mitcham dan Scott Robertson, kedua-duanya dari Australia, masing-masing memenangi pingat perak dan gangsa. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain