suria

Marquez Juara Kategori 125cc

SEPANG:Bermula di petak pertama memberi kelebihan kepada pelumba pasukan Derbi, Marc Marquez untuk muncul juara kelas 125cc pada perlumbaan Grand Prix MotoGP Malaysia di sini pada Ahad dengan catatan masa 2:13.773 saat.

Marquez mempamerkan tunggangan cemerlang dan konsisten sejak awal perlumbaan untuk mengenepikan pencabarnya Pol Espargaro (Tuenti Racing) yang menduduki tempat kedua manakala Nicolas Terol (Bancaja Aspar) di tempat ketiga.

Berbekalkan kemenangan itu, Marquez merampas tempat pertama kedudukan keseluruhan dengan mengumpul 247 mata manakala Nicolas Terol terjunam ke tempat kedua (244 mata) dan Pol Espargaro ketiga (235 mata).

Meskipun Marquez mengekalkan rentak konsisten selepas dinobatkan selaku juara di Grand Prix Jepun di Litar Motegi minggu lalu, persaingan antara ketiga-tiga pelumba untuk merebut kejuaraan dunia masih lagi terbuka.

Menurut Marquez, kemenangan pada perlumbaan itu sangat penting kerana sukar bagi pelumba untuk kekal konsisten di depan walaupun memulakan saingan di petak pertama.

"Saya cuba menjarakkan diri dengan pelumba di belakang. Usaha keras saya berbaloi kerana muncul juara di sini," katanya ketika sidang media di sini, Ahad.

Selepas saingan penuh mencabar di Litar Sepang, ketiga-tiga pelumba itu terpaksa mengharungi baki tiga perlumbaan terakhir iaitu Grand Prix Australia, Portugal dan Valencia untuk menentukan juara pada perlumbaan musim ini.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain