suria

Litar Sepang Nobat Lorenzo Juara MotoGP Musim 2010

Rossi berjabat tangan dengan juara baru MotoGP 2010, Lorenzo (kanan) di Litar Sepang, Ahad. Foto The Star/Mohd Sahar Misni
Rossi berjabat tangan dengan juara baru MotoGP 2010, Lorenzo (kanan) di Litar Sepang, Ahad. Foto The Star/Mohd Sahar Misni
Rossi berjabat tangan dengan juara baru MotoGP 2010, Lorenzo (kanan) di Litar Sepang, Ahad. Foto The Star/Mohd Sahar Misni

SEPANG: Pelumba Sepanyol, Jorge Lorenzo, dinobatkan juara MotoGP musim 2010 selepas menamatkan perlumbaan di tempat ketiga manakala rakan sepasukan Valentino Rossi menjuarai MotoGP Grand Prix Malaysia di Litar Sepang, di sini, Ahad.

Lorenzo, pelumba Yamaha, hanya perlu mencapai 10 tempat terbaik pada perlumbaan ke-15 dunia itu untuk menjulang kejuaraan dunia buat julung kali dengan baki tiga lagi perlumbaan pada musim ini.

Selepas memulakan perlumbaan di petak utama, pelumba berusia 23 tahun itu menamatkan saingan 20 pusingan dengan kepantasan 41 minit 09.483s untuk mengumpul 313 mata selepas 15 perlumbaan setakat ini.

Dalam pada itu, juara dunia tujuh kali, Rossi dari Itali, menampilkan persembahan bermutu tinggi mulai pusingan ke-11 untuk merangkul kejuaraan GP Malaysia dengan kepantasan 41:03.448s.

Rossi, 31, memulakan cabaran di barisan kedua sebelum mengatasi pelumba Repsol Honda Andrea Dovizioso dengan kelebihan 0.224s diikuti Lorenzo. "Saya perlu menang perlumbaan ini dan tidak mahu kehilangan sebarang saat. Tetapi akhirnya apabila tayar memberi masalah, saya mengambil keputusan untuk menamatkan saingan.

"Hari ini (Ahad) paling gembira dalam hidup saya dan kemenang ini adalah kali ke-46 bersama Yamaha...jadi ia amat penting," kata Lorenzo selepas perlumbaan itu.

Dalam pada itu, Rossi berkata beliau tidak berputus asa selepas berada di tangga ke-11 selepas perlumbaan bermula dan mula berusaha keras untuk berada di kelompok hadapan.

Mengulas kejayaan Lorenzo, katanya, rakan sepasukannya berhak menjuarai gelaran dunia musim ini.

"Saya harap ada tentangan sengit antara kami pada musim akan datang," kata Rossi yang akan menyertai pasukan Ducati musim depan.

Sementara itu, Dovizioso, yang menduduki tangga keempat keseluruhan musim ini, berkata perlumbaan kali ini sukar kerana terpaksa berentap dengan Rossi.

"Saya bangga dengan pencapaian tempat kedua di sini," katanya.

Selepas ini, pusingan ke-16 MotoGP Dunia akan beralih ke Litar Philip Island, Melbourne, bagi GP Australia minggu depan (17 Oktober) diikuti GP Portugal di Litar Estoril pada 31 Oktober.

Musim MotoGP Dunia 2010 akan menutup tirai di GP Sepanyol di Litar Valencia pada 7 November ini. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain