suria

Marquez Rampas Petak Utama Kategori 125cc

SEPANG: Penunggang Marc Marquez dari pasukan Red Bull Ajo Motorsport berjaya menawan petak pertama perlumbaan acara 125cc pada MotoGP Grand Prix Malaysia selepas sesi kelayakan di Litar SIC di sini, Sabtu.

Dalam sesi kelayakan selama sejam itu, pelumba Sepanyol itu mencatatkan masa terpantas pada pusingan ke-14 dengan catatan masa dua minit 13.398 saat.

Penunggang pasukan Bancaja Aspar, Bradley Smith dari Great Britain dan Niolas Terol dari Sepanyol akan memulakan cabaran dari petak kedua dan ketiga dengan masing-masing mencatatkan masa 2:13.691s dan 2:14.104s. Mengiringi tiga pelumba terpantas di barisan depan ialah seorang lagi pelumba Sepanyol, Pol Espargaro dari pasukan Tuenti Racing, yang menamatkan saingan di tangga keempat dengan masa 2:14.105s.

Bagaimanapun, wakil negara Mohd Zulfahmi Khairuddin hanya mampu menduduki tangga ke-22 selepas terbabas pada pusingan ketiga pada sesi kelayakan tersebut.

Perlumbaan MotoGP Grand Prix Malaysia akan berlangsung esok. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Aksi Atlet Malaysia Jumaat

Artikel Lain