suria

Lorenzo Mahu Rangkul Gelaran Dunia Di Sepang

SEPANG: Pelumba Sepanyol, Jorge Lorenzo, sudah bersedia untuk dinobatkan sebagai juara MotoGP dunia musim 2010 pada perlumbaan MotoGP Grand Prix Malaysia di Litar Sepang di sini Ahad.

Selain itu, pelumba dari pasukan Fiat Yamaha itu, juga berazam merangkul gelaran sulung pada perlumbaan GP Malaysia selepas memperoleh petak utama selepas sesi kelayakan di sini, Sabtu.

Lorenzo, 23, yang mendahului kutipan mata kelas MotoGP dunia dengan 297 mata setakat ini, hanya memerlukan kedudukan di bawah sembilan pelumba terbaik, Ahad untuk dinobatkan juara dunia.

Pada sesi kelayakan, Lorenzo, yang memburu gelaran dunia buat kali pertama, mencatatkan kepantasan dua minit 1.537s untuk meraih petak utama buat kali keenam musim ini.

"Saya memang mahu merebut kedudukan petak pertama hari ini kerana tahu perlumbaan esok adalah sengit dan sukar untuk mencapai kemenangan," kata Lorenzo pada sidang media selepas pusingan kelayakan di sini.

"Pasukan kami mantap sepanjang musim ini dan akhirnya berjaya melakukan catatan terbaik sepusingan dan saya bangga untuk kembali menduduki petak pertama perlumbaan," katanya.

Pelumba Amerika Syarikat, Nicky Hayden, akan memulakan perlumbaan di petak kedua selepas hanya ketinggalan 0.100s di belakang Lorenzo pada sesi kelayakan selama sejam itu.

"Saya tidak menjangka berada di barisan depan. Catatan masa pada pusingan itu adalah terbaik bagi diri saya," kata Hayden.

Lorenzo dan Hayden akan diiringi oleh pelumba Itali, Andrea Dovizioso dari pasukan Repsol Honda, di petak ketiga dan pelumba Amerika Syarikat Ben Spice di petak keempat di barisan depan.

Dovizioso mencatatkan kepantasan 2:01.829s manakala Spice, dari pasukan Monster Yamaha Tech 3, mencatatkan masa 2:01.993s.

Bagi Dovizioso pula, beliau gembira dengan kedudukan barisan depan tetapi berpendapat beberapa pasukan tidak menunjukkan keupayaan sebenar masing-masing semasa sesi kelayakan.

"Adalah sukar untuk memahami rentak perlumbaan sebenar, Ahad. Kami perlu mengkaji catatan masa hari ini serta merasai persembahan pasukan lawan.

"Sesi kelayakan tidak selalu memberi gambaran sebenar atau rentak perlumbaan pihak lawan dengan jelas," katanya.

Dalam pada itu, pelumba Australia Casey Stoner, yang memburu kejuaraan kali ketiga berturut-turut bersama pasukan Ducati Marlboro di sini, hanya mampu menduduki petak kelima dengan ketinggalan 0.493s daripada Lorenzo. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Aksi Atlet Malaysia Jumaat

Artikel Lain