Zamri Bawa Nama PETRONAS SIC TWMR Malaysia

KUALA LUMPUR: Pelumba Kejuaraan Motosikal Asia (ARRC) dan Kejuaraan Cub Prix Malaysia, Mohd Zamri Baba akan mewakili pasukan PETRONAS SIC TWMR Malaysia buat julung kalinya dalam kategori Moto2 pada kemuncak Kejuaraan MotoGP Grand Prix Malaysia yang akan bermula Jumaat hingga Ahad ini.

Lebih menarik, Zamri akan mengendalikan jentera Honda 600 cc bernombor 87 yang dihiasi dengan kombinasi warna hijau, merah dan putih.

Perkara itu diumumkan Pengurus Besar Petronas Motosport, Anita Azrina Abdul Aziz pada sidang media memperkenalkan nama pasukan dan jentera yang akan digunakan Zamri kelak.

PETRONAS, Litar Antarabangsa Sepang (SIC) dan Two Wheels Motor Racing (TWMR) merupakan penaja utama pasukan itu yang turut mendapat sokongan penuh Kementerian Belia dan Sukan (KBS), Persatuan Automobil Malausia (AAM), MotodotMania, Racing Boy, Uma Racing, Berik, SHOEI dan Dunlop.

Ketika ditemui selepas sidang media di sini, Khamis, Zamri menyuarakan rasa tidak sabar untuk mengendalikan jentera itu buat kali kedua pada sesi latihan bebas di Litar Sepang, Jumaat.

"Esok (Jumaat) adalah kali kedua saya mengendalikan jentera Moto2. Kali ini saya akan menjalani latihan dengan suasana berbeza kerana jentera itu sudah berwajah baru," katanya yang menganggap tiket wildcard itu untuk mengembangkan kariernya pada masa hadapan.

Memandangkan tahun ini merupakan kali pertama Malaysia diberi peluang untuk beraksi dalam kategori Moto2 atas tiket wildcard, Zamri berharap agar dirinya dijauhkan daripada sebarang masalah yang tidak diingini.

"Buat masa ini, saya tiada apa-apa masalah. Persiapan rapi sudah dilakukan termasuk dari segi fizikal dan mental. Mungkin kita akan buat beberapa perubahan untuk mencari keselesaan dalam teknik handling (kawalan) dan suspensi," jelas dengan penuh yakin.

Meskipun jentera Moto2 dilengkapi enjin berkuasa tinggi dan memerlukan karakter tunggangan yang berbeza, pengalaman pelumba dari Klang, Selangor itu dalam arena pemotoran sejak tujuh tahun lalu sedikit sebanyak membantunya mengharungi perlumbaan berprestij berkenaan.

"Saya sudah biasa dengan cuaca dan keadaan litar di sini. Saya tahu ramai pelumba tidak selesa berlumba dalam keadaan litar basah. Jadi saya berharap agar cuaca panas. Namun sebagai pelumba, kami harus melunaskan tanggungjawab yang diamanahkan," katanya.

Sementara itu, bekas pelumba, Shahrol Yuzy Ahmad Zaini turut hadir memberikan suntikan semangat kepada Zamri yang akan memulakan tugas getir bermula Jumaat.

"Memandangkan Zamri beraksi dalam kategori berbeza kali ini, saya sebagai pelumba berpengalaman akan memberi motivasi dan tip-tip kepadanya mengenai apa yang patut dilakukan bagi menghadapi perlumbaan itu," ujarnya.

Pemilihan pelumba berusia 27 tahun itu untuk slot wildcard Moto2 bukan dibuat berdasarkan catatan masa yang dilakukannya pada sesi ujian di Sepang awal bulan lalu tetapi mengambil kira tahap kecergasan dan persediaan mental yang kental bagi mengharungi cabaran dalam keadaan litar kering mahupun basah.

Artikel Sebelum

Zulfahmi Belum Mahu Menyerah Kalah

Artikel Berikut

Artikel Lain