suria

SIC Diberi Hak Menganjur MotoGP Malaysia Sehingga 2013 - Dorna

SEPANG: Sepang International Circuit Sdn Bhd (SIC) hari ini diberi lanjutan hak penganjuran perlumbaan motosikal dunia (MotoGP) Grand Prix Malaysia untuk tiga musim lagi oleh pemegang hak komersial MotoGP, Dorna Sports.

Ketua Pegawai Eksekutif Dorna, Carmelo Ezpeleta berkata mengikut perjanjian terbaru itu, SIC akan menganjurkan perlumbaan itu sehingga musim 2013. "Saya bangga dengan tempoh lanjutan perjanjian dengan Malaysia kerana Litar SIC bukan sahaja menjadi pilihan pelumba tetapi terbukti dengan kemudahan canggih dan soal keselamatan litar di sini," katanya di Litar SIC di sini.

Sempena sambutan 20 tahun MotoGP Malaysia tahun ini, kami akan terus bekerjasama dengan SIC kerana mereka mempunyai pengalaman luas dalam penganjuran acara permotoran antarabangsa, katanya.

Bagi perlumbaan musim 2011, perlumbaan Grand Prix Malaysia disenaraikan sebagai pusingan ke-17 daripada 18 pusingan MotoGP Dunia dan bakal diadakan mulai 21 hingga 23 Oktober tahun depan.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif SIC, Razlan Razali berkata pihaknya bangga dengan tempoh lanjutan yang diberikan oleh Dorna dan ia mencerminkan komitmen kerajaan untuk terus membangunkan sukan permotoran di negara ini.

Perlumbaan MotoGP Grand Prix Malaysia musim ini akan berlangsung di Litar SIC mulai hari ini hingga Ahad ini. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain