suria

Pemilihan Anugerah Bola Sepak 100Plus-FAM Lebih Sengit

PETALING JAYA: Edisi ketiga Anugerah Bola Sepak Kebangsaan 100Plus-FAM 2010 bakal menyaksikan kategori baru, Pemain Muda Terbaik pada majlis yang akan berlangsung 2 November ini.

Pada edisi lalu, sebanyak sembilan kategori dipertandingan termasuk Pemain Terbaik, Penjaga Gol Terbaik, Pemain Pertahanan Terbaik, Penyerang Terbaik, Pemain Tengah Terbaik, Jurulatih Terbaik, Kelab Penyokong Terbaik dan Persatuan Bola Sepak Terbaik.

Setiausaha Agung Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Datuk Azzuddin Ahmad berkata, pemilihan setiap kategori tahun ini lebih sengit kerana sesetengah pemain telah menunjukkan prestasi terbaik sepanjang musim termasuk pemain muda.

“Apa yang saya lihat sehingga kini, anugerah tahun ini bakal menjanjikan kejutan,” katanya pada majlis pelancaran logo baru Anugerah Bola Sepak Kebangsaan 100Plus-FAM 2010, Khamis.

Beliau juga berkata, pihak FAM sangat menghargai jasa 100Plus yang terus memberi sokongan dalam sukan bola sepak tanah air.

“Ia memerlukan sokongan semua pihak untuk menaikkan sukan ini. Anugerah yang diadakan ini bukan sahaja untuk menghargai penat lelah pemain, tetapi dalam masa sama memberi inspirasi kepada pemain muda untuk mengikuti jejak langkah pemain yang lebih senior,” katanya.

Sementara itu Pengurus Hal Ehwal Korporat, F&N Beverages Marketing Sdn.Bhd, Datuk Kamal Harun berkata, dengan corak permainan berkualiti, pastinya pemilihan pemenang lebih sukar.

“Saya percaya majlis anugerah tahun ini lebih meriah dengan kejutan yang akan berlaku. Setiap pemain telah memberi aksi terbaik untuk meletakkan pasukan masing-masing di tahap tertinggi dalam Liga Malaysia dan kita perlu menghargai mereka,” katanya.

Bagi memberi keputusan terbaik setiap kategori, panel-panel yang berkaliber telah dipilih termasuk jurulatih kebangsaan, ahli Persatuan Penulis-penulis Sukan Malaysia (SAM) dan pegawai-pegawai dari FAM.

Pemenang bagi kategori Pemain Terbaik bakal membawa balik wang tunai RM 3,000 dan trofi manakala setiap kategori lain akan meraih wang tunai RM300 dan juga trofi.

Tahun lalu, Indra Putra Mahayuddin (Kelantan) telah dipilih sebagai Pemain Terbaik dan Penyerang Terbaik.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain