suria

Komanwel: Pelajar Wanita Nigeria Buat Kejutan Dengan Cipta Rekod Dalam Acara Angkat Berat

NEW DELHI: Atlet angkat berat negara Zaira Zakaria, 23, terlepas peluang meraih pingat gangsa dalam kategori 48kg wanita di Sukan Komanwel di sini hari Isnin hanya kerana berat badannya.

Zaira melakukan angkatan 75kg dalam 'snatch' dan 90kg bagi acara 'clean & jerk' untuk jumlah angkatan seberat 165kg, sama seperti atlet tuan rumah Sandhya Rani Devi.

Mengikut peraturan pertandingan, Sandhya diiktiraf sebagai pemenang pingat gangsa dengan mengambil kira berat badan atlet yang lebih ringan.

Berat badan Sandhya ialah 47.73kg manakala Zaira pula ialah 47.94kg.

Pingat perak dirangkul oleh seorang lagi atlet India, Soniya Chanu dengan jumlah angkatan seberat 167kg.

Pingat emas pula dimenangi oleh atlet Nigeria berusia 17 tahun apabila melakukan kejutan besar dengan mencipta tiga rekod kejohanan.

Pelajar Augustina Nkem Nwaokolo memecahkan rekod acara 'snatch' dengan angkatan 77kg dan kemudian rekod 'snatch & jerk' dengan 98kg untuk jumlah angkatan 175kg.

"Saya adalah manusia paling gembira di dunia...saya amat bangga," katanya kepada pemberita selepas majlis penyampaian pingat itu.

Beliau telah mengatasi rekod angkatan berjumlah 167.5kg (75kg 'snatch'/92.5kg 'clean & jerk' yang dicipta oleh Nameir Kunjarani Devi dari India pada temasya edisi 2002 di Manchester, England. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain