suria

Komanwel: Nicol Akan Berentap Dengan Pemain India, Joshna

NEW DELHI: Juara skuasy dunia lima kali Datuk Nicol David akan berentap dengan pemain India yang juga bintang Asia sedang meningkat Joshna Chinnapa dalam perseorangan wanita pusingan kedua Sukan Komanwel 2010 -- kedua-dua mereka anak didik jurulatih yang sama.

Nicol pada satu ketika dilatih Major (B) S.Maniam dan Joshna pada masa ini di bawah bimbingan jurulatih berkenaan.

Nicol, yang memenangi kejuaraan dunia kelimanya bulan lepas masih belum memenangi sebarang pingat di sukan berkenaan, memasuki pusingan kedua di Delhi selepas menyingkirkan pemain muda Sri Lanka Damindhi Udangawe 3-0 (11-2, 11-4, 11-2).

Sementara musuh ketatnya Joshna, yang menumpaskan pemain Malaysia Sharon Wee dengan agak mudah 3-1 (11-1, 11-4, 8-11, 11-4) berkata beliau menunggu-nunggu untuk menentang Nicol Selasa di Kompleks Sukan Sri Fort, disokong dengan kelebihannya sebagai pemain tuan rumah.

"Saya cukup teruja untuk berdepan dengan (Nicol), beliau pemain tegar dan pemain nombor satu dunia. Saya tewas kepadanya dalam pertemuan lepas dan saya kini lebih mantap, fit dan bermain dengan lebih baik," kata beliau.

Sebagai respons Nicol berkata, "Cubalah", bila diminta mengulas mengenai pertemuannya dengan Joshna esok tetapi membayangkan beliau berada di Delhi untuk merangkul sesuatu pingat yang menjadi rebutan hebat.

Terdahulu pada hari ini, dalam perlawanan pusingan pertama perseorangan lelaki pemain Malaysia Mohd Nafizwan Adnan menumpaskan pemain Kenya Hartaj Bains 3-0 (11-8, 11-2, 11-15), sementara Ong Beng Hee mengatasi pemain Uganda Briuan Okumu 3-0 (11-7, 11-3, 11-0).

Mohd Azlan Iskandar mengalahkan St Vincent & The Grenadines (SVG) 3-0 (11-7, 11-3, 11-0). - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain