suria

Insiden Penerjun Maut Tidak Lemahkan Semangat Peserta

ALOR SETAR: Insiden malang yang menyaksikan seorang penerjun wanita, Tantiky Lie Marion, 42, terbunuh selepas payung terjunnya tidak berfungsi semasa melakukan latihan terjun di Menara Alor Setar Selasa lepas, tidak mematahkan semangat 17 peserta tempatan dan luar negara untuk meneruskan terjunan pada Acara KL Tower International Jump 2010 di Menara Kuala Lumpur, 7 Oktober ini.

Pengurus Besar Menara Alor Setar Mazlan Mahmud berkata sesi latihan penerjun-penerjun itu berjalan mengikut jadual hari ini.

"Walaupun ada yang kelihatan sugul namun mereka tetap giat meneruskan latihan menjelang terjunan di Menara Kuala Lumpur nanti. Dari aspek keselamatan peserta dalam keadaan baik," katanya kepada pemberita selepas meninjau latihan, Khamis.

Dalam kejadian 4.15 petang Selasa lalu, penerjun warga Australia itu maut akibat payung terjunnya tidak berfungsi semasa membuat terjunan latihan bebas di Menara Alor Setar setinggi 165.5 meter.

Antara yang berlatih ialah penerjun dari Belanda, Norway, Australia dan penerjun tempatan.

Seorang penerjun dari Belanda, Wytse Tijkestre, 32, ketika ditemui di sini berkata beliau sedih dengan kejadian yang menimpa rakannya itu namun ia tidak mematahkan semangatnya untuk meneruskan latihan.

Penerjun tempatan Ahmad Zaharuddin Zainuddin, 46, pula berkata Menara Alor Setar sering menjadi pilihan penerjun tempatan dan luar negara untuk melakukan latihan kerana dikatakan amat mencabar.

Menurutnya selain berketinggian 165.5 meter berbanding Menara Kuala Lumpur setinggi 421 meter, persekitaran Menara Alor Setar agak selamat untuk penerjun mendarat.-BERNAMA

Artikel Sebelum

Wigan Benam Wolves 2-0

Artikel Berikut

Artikel Lain