suria

Lotus Racing Seolah-Olah Nafi Kepentingan Negara - Razali

SEPANG: Timbalan Menteri Belia dan Sukan Datuk Razali Ibrahim melihat hasrat Lotus Racing Team yang dimiliki Datuk Seri Tony Fernandes menukar nama pasukan itu kepada Team Lotus seperti mengenepikan jenama Lotus Racing dan seolah-olah menafikan kepentingan negara.

Beliau berkata penukaran nama pasukan itu jika berlaku, tidak lagi menjadi satu jenama Malaysia kerana Lotus merupakan anak syarikat kepada syarikat kereta nasional Malaysia Proton Berhad.

"Tindakan Tony pasti mengundang pelbagai isu dan kekecewaan daripada sesetengah pihak. Ini soal kita punyai pasukan yang terus melupakan kepentingan negara," katanya kepada pemberita di Lapangan Terbang Antarabangsa KL di sini, Selasa.

Terdahulu, beliau mengucap selamat jalan kepada 93 atlet dan pegawai yang berlepas ke New delhi untuk menyertai Sukan Komanwel.

Pada minggu lepas di Grand Prix Singapura, Fernandes mengumumkan bahawa Lotus Racing akan menukar namanya kepada Team Lotus bermula tahun depan setelah dikatakan mendapat hak daripada pihak ketiga David Hunt.

Tony dikatakan mahu menukar nama pasukan itu selepas membeli Team Lotus Ventures daripada Hunt.

Semalam, Pengerusi Proton dan Kumpulan Lotus Datuk Seri Mohd Nadzmi Salleh menafikan Hunt mempunyai hak ke atas jenama Team Lotus dan berkata syarikat kereta nasional itu akan terus menyokong kumpulan itu dalam mempertahankan hak kumpulan itu.

Razali berkata satu perbincangan di antara pihak yang terlibat perlu diadakan dan kepentingan negara harus didahulukan.

"Saya harap pasukan Lotus dan Proton akan segera mencari jalan penyelesaian supaya kepentingan negara dan pasukan negara seperti yang mereka janjikan pada peringkat awal penubuhan tidaklah diketepikan buat masa ini.

"Jika usaha Tony diteruskan, saya rasa ia boleh mengundang kekecewaan kepada sesetengah syarikat sama ada syarikat minyak petroleum negara, syarikat pemotoran dan kelab-kelab yang selama ini banyak menyokong penubuhan pasukan itu yang membawa jenama Malaysia di arena Formula Satu (F1)," katanya. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain