suria

SIC, Lotus Akan Bekerjasama Membangunkan Industri Pemotoran Bertaraf Dunia

KUALA LUMPUR: Litar Antarabangsa Sepang (SIC) bersama pasukan Lotus F1 sedang merancang untuk bekerjasama membangunkan sebuah industri permotoran bertaraf dunia di SIC.

Ketua Pegawai Eksekutif SIC, Razlan Razali berkata diharapkan ia dapat dijadikan sebuah tempat industri permotoran negara bukan sahaja untuk pasukan Lotus Racing malah dapat menjadi sebuah pangkalan yang menyediakan komponen perlumbaan untuk pasukan kecil dan tempatan negara serta dapat dikembangkan ke serantau kelak.

"Pihak kita mengharapkan dengan realisasinya perancangan tersebut, ia merupakan satu permulaan titik tolak untuk industri permotoran negara ini berkembang jauh di rantau ini.

"Jadi, kita sudah hantar usul ke MOF (Kementerian Kewangan) yang bukan sahaja hanya untuk pusat teknikal Lotus malah turut menghantar usul kerja-kerja baik pulih dan naik taraf litar SIC yang menelan belanja yang banyak seperti dari segi 'refurbishment', naik taraf dan sebagainya," katanya kepada Bernama di sini, Sabtu.

Razlan berkata Litar F1 Sepang yang berusia 12 tahun kini memerlukan kerja-kerja baik pulih dan naik taraf yang boleh menelan belanja besar sehingga RM180 juta.

Beliau berkata kedua-dua cadangan tersebut masih dalam proses di Kementerian Kewangan dan ia mengambil sedikit masa.

"Nampak gayanya proses masih berjalan dengan lembab, tapi yang bagusnya Kementerian Belia dan Sukan (KBS) dalam tahap advance hendak membina sebuah akademi untuk permotoran negara namun masih tidak diketahui jawapannya lagi," katanya.

Razlan berkata industri permotoran negara memang diperlukan sebuah yang berpangkalan di negara ini untuk jangka masa panjang bagi mengukuhkan sukan permotoran negara.

"Kini Pasukan Lotus Racing sudah sah milik negara dan kita ingin tengok lebih dari sekadar pusat Pasukan Lotus malah kita nak buat yang terbaik dalam semua segi industri permotoran seperti fabrication (pembuatan) dan komposit untuk antarabangsa," katanya.

Razlan berkata Malaysia mempunyai hak penganjuran F1 sehingga 2015 dan berharap bantuan daripada kerajaan untuk menjalankan baik pulih dan naik taraf besar-besaran serta pembinaan industri permotoran negara.

Prinsipal Pasukan Lotus Racing , Datuk Seri Tony Fernandes pada Jumaat mengumumkan pengambilalihan sepenuhnya Team Lotus Venturess Ltd, pemegang hak sukan permotoran Lotus pada sidang akhbar khas di Singapura menjelang Grand Prix Singapura hujung minggu ini.

Beliau berkata Pasukan Lotus Racing secara rasmi akan dikenali sebagai Pasukan Lotus (Team Lotus) bermula musim Formula Satu (F1) tahun depan.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain