suria

Pegawai Malaysia Belum Puas Hati Dengan Keadaan Perkampungan Sukan

NEW DELHI: Walaupun hanya tinggal lapan hari lagi bermulanya Sukan Komanwel 2010 di sini, para pegawai Malaysia masih belum berpuas hati dengan keadaan di perkampungan sukan berkenaan.

"Saya masih menaruh harapan, banyak lagi kerja yang perlu disiapkan (di tempat di mana atlet Malaysia akan menginap). Kerja pemasagan paip, bekalan elektrik dan kebersihan perlu diperbaiki.

"Kami harap segalanya akan siap menjelang Selasa ini apabila atlet kita tiba.Kami mendesak mereka (penganjur) menyiapkannya, ada beberapa kemajuan," kata pengurus besar Sukan Komanwel Malaysia Jefri Ngadirin kepada Bernama, Sabtu.

Bagaimanapun, beliau berkata makanan dan hal berkaitan kesihatan tidak menjadi isu kerana ia diberi perhatian sewajarnya oleh penganjur.

Delegasi Malaysia dengan tujuh anggota yang diketuai Jefri, tiba di Delhi dua malam lepas, untuk memeriksa keadaan venue dan zon kediaman atlet, selepas pihak penganjur sukan itu gagal menyiapkan segala kemudahan yang diperlukan mengikut

Hingga hari ini, para pekerja termasuk lelaki dan wanita, kebanyakan mereka dari beberapa negeri berdekatan, masih kelihatan bertungkus-lumus membersihkan ibu negara India itu yang akan menjadi tumpuan warga media dari seluruh dunia beberapa hari lagi.

Dari 3 hingga 14 Oktober, hampir 7,000 atlet akan berkampung di Delhi untuk mengambil bahagian dalam edisi kesembilan Sukan Komanwel yang julung kalinya diadakan di India.

Pasukan boling padang dengan 15 anggota merupakan kumpulan atlet pertama Malaysia yang tiba di Delhi malam Jumaat dan mereka terpaksa menginap di sebuah hotel di bandar raya itu kerana bilik penginapan mereka di perkampungan sukan berkenaan masih belum disiapkan.

Mereka bagaimanapun berpindah ke perkampungan itu pada tengah hari Sabtu dan memulakan latihan.

Malaysia akan menghantar kira-kira 200 atlet serta 90 pegawai ke sukan itu untuk mengambil bahagian dalam 14 acara.

Delhi, yang sebelum ini dilanda suasana suram, bertukar menjadi sebuah bandar raya yang meriah apabila pasukan asing mula tiba, walaupun pada mulanya banyak negara yang keberatan untuk mengambil bahagian berikutan kebimbangan bahawa temasya sukan itu akan menghadapai kegagalan kerana menerima kritikan hebat di peringkat antarabangsa.

Musim monsun yang melanda utara India beberapa minggu sebelum ini dan menimbulkan kebimbangan akan berlaku banjir serta serangan wabak denggi di beberapa bahagian di Delhi, juga telah reda.

Sukan Komanwel 2010 akan berlangsung dalam kawalan keselamatan ketat apabila kerajaan India mengerahkan beribu-ribu anggota pasukan separa tentera dan komando yang lengkap bersenjata supaya bersiap sedia bagi menghadapi sebarang kemungkinan. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain