suria

Phillipa Ketuai Cabaran Malaysia Dalam Kejohanan Waterski Di Jakarta

KUALA LUMPUR: Atlet waterski terunggul negara Phillipa Yoong akan mengetuai pasukan Malaysia ke Kejohanan Waterski dan Wakeboard Asia Australia Oceania Antarabangsa 2010 yang akan berlangsung di Jakarta, Indonesia dari 4 hingga 10 Oktober ini.

Persekutuan Waterski & Wakeboard Malaysia (MWWF) dalam satu kenyataan hari ini berkata Phillipa, 31, akan disertai oleh Hanis Azemi, 11, Hadi Irfan Rahaizah, 10, dan Aaliyah Yoong, 7, ke kejohanan.

"Phillipa akan bertanding dalam acara women slalom, women jump dan women shortboard, manakala Hanis acara women shortboard, Hadi Irfan men shortboard dan Aaliyah women shortboard," menurut kenyataan itu.

Pemilihan dibuat berdasarkan kepada acara percubaan yang diadakan di Putrajaya dua minggu lepas.

Pengurus pasukan Azemi Jusoh berkata Hanis, Hadi Irfan dan Aaliyah diasuh untuk menyerlah dalam acara itu sejak dua tahun lepas dan akan bertanding dalam acara antarabangsa buat pertama kali di Jakarta nanti.

"Phillipa yang juga jurulatih kebangsaan, akan mengetuai cabaran negara dalam memburu pingat, selepas Malaysia lama tidak merangkul pingat dalam sukan itu di peringkat antarabangsa.

"Kejohanan ini juga akan memberikan pengalaman yang amat berharga buat tiga atlet muda berkenaan," menurutnya. -BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain