suria

Skuad Berbasikal Sasar Satu Pingat Sukan Komanwel

KUALA LUMPUR: Skuad berbasikal negara mensasarkan pungutan satu pingat pada Sukan Komanwel di New Delhi, India yang akan bermula dari 3 hingga 14 Oktober ini.

Timbalan Presiden Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM) Datuk Naim Mohamad berkata persatuan juga berharap dapat meraih sekurang-kurangnya satu emas pada temasya tersebut bersandarkan kepada prestasi baik anak buahnya yang kini menjalani latihan di Melbourne, Australia.

"Insya-Allah, jika tiada apa-apa kecederaan yang melanda mereka, saya yakin mereka boleh tunjukkan prestasi yang baik dan memungut pingat di Sukan Komanwel di New Delhi dan juga di Sukan Asia, Guangzhou," katanya kepada Bernama, di sini hari ini.

Antara yang mengikuti latihan di Melbourne itu ialahk pemenang emas Piala Trek Asia 2010 Mohd Azizulhasni Awang dan Mohd Rizal Tisin, Josiah Ng serta pelumba wanita Fatihah Mustafa.

Naim berkata PKBM telah meninjau keadaan velodrom di New Delhi dan berpuas hati dengan kemudahan tersebut yang disifatkan sebagai baik dan 'pantas'.

"Velodrom itu memang sesuai untuk pelumba-pelumba seperti Azizul, Rizal dan Joshua untuk melakukan pecutan dan kita harapkan mereka dapat mencatat keputusan yang baik di New Delhi," katanya.

Selain itu, Naim berkata PKBM juga tidak mempunyai masalah untuk berkongsi kemudahan di 'Vision Valley' Labu, Negeri Sembilan dengan mana-mana persatuan sukan, khususnya Persatuan Badminton Malaysia.

Katanya tanah seluas 10 hektar itu sudah lebih daripada cukup untuk menempatkan sebuah velodrom bertaraf antarabangsa dan kemudahan seperti dewan makan, parking dan gim yang boleh dimanfaatkan bersama persatuan sukan lain.

"Saya percaya pembinaan velodrom itu bukan saja akan membangunkan lagi sukan berbasikal, tetapi apabila kejohanan-kejohanan bertaraf dunia dapat kita anjurkan di situ, negara akan mendapat lebih banyak publisiti dan lebih ramai orang akan berkunjung ke negara ini," katanya.

Kerajaan dengan kerjasama sebuah syarikat swasta kini dalam proses untuk membina sebuah pusat kemudahan sukan atau projek 'Vision Valley' di Labu yang akan menempatkan sebuah velodrom tertutup dan Akademi Badminton Negara. - BERNAMA

Artikel Lain