suria

Nicol, Omneya Bertemu Di Pusingan Akhir Terbuka Dunia

Nicol berada dalam prestasi terbaik untuk menyamai lima rekod gelaran Terbuka Dunia wanita.
Nicol berada dalam prestasi terbaik untuk menyamai lima rekod gelaran Terbuka Dunia wanita.
Nicol berada dalam prestasi terbaik untuk menyamai lima rekod gelaran Terbuka Dunia wanita.

KUALA LUMPUR: Ratu skuasy negara dan pemain nombor satu dunia Datuk Nicol David mengekalkan persembahan bagi menyamai lima rekod gelaran Terbuka Dunia wanita selepas menewaskan Alison Waters dari England untuk mara ke pusingan akhir.

Nicol, 27, yang telah memenangi empat gelaran Terbuka Dunia sejak lima tahun lepas, memerlukan hanya 38 minit bagi mengenepikan lawannya dengan mata 14-12, 11-2 dan 11-6 di gelanggang kaca Red Sea Resort di Sharm El Sheikh, Mesir, Selasa.

Dalam cubaannya menyamai pemain Australia, Sarah Fitz Gerald, Nicol akan bertemu pemain Mesir, Omneya Abdel Kawy pada pusingan akhir hari ini.

"Sudah pasti, seperti biasa ia pertarungan yang sengit dengan Omneya. Saya perlu menggunakan segala pengalaman yang ada," kata Nicol dipetik laman web rasmi kejohanan, www.sohosquareworldopen.com.

Mereka bertemu semasa final pada Terbuka CIMB Kuala Lumpur pada 20 Mac tahun ini yang menyaksikan Nicol mengekalkan gelaran bagi kali keenam.

Sebelum itu, Omneya menceriakan peminat di negaranya dengan kemenangan 3-0 ke atas pemain Perancis, Camille Serme, dalam satu lagi pusingan separuh akhir.

Beliau mengambil masa hanya 26 minit bagi menyingkirkan Serme yang merupakan pilihan kesembilan dengan 11-4, 11-7 dan 11-6.

"Ini kali pertama saya mara ke separuh akhir Terbuka Dunia dan saya benar-benar memberi tumpuan. Saya letakkan tekanan ke atas diri saya supaya saya membuat pencapaian dan ia berhasil.

"Saya kini berada pada ranking atas, ini tanah air saya, keluarga saya, kawan saya, jurulatih saya dan penyokong saya semua ada di sini..jadi saya mesti menang. Tak ada sebarang alasan," kata pemain berumur 25 tahun itu.

Pusingan akhir wanita Terbuka Dunia 2010 antara Nicol dan Omneya, Rabu akan bermula 8 malam waktu tempatan (1 pagi waktu Malaysia).

KEPUTUSAN:

[4] Omneya Abdel Kawy (MESIR) mn [9] Camille Serme (FRA) 11-4, 11-7, 11-6 (26 minit)

[1] Nicol David (MAS) mn [3] Alison Waters (ENG) 14-12, 11-2, 11-6 (38 minit). - BERNAMA

Artikel Lain