suria

Larian 'Nike City 10K Kuala Lumpur' Bakal Kuasai Jalan Raya Di Ibu Kota

KUALA LUMPUR: Ibu kota akan menyaksikan lebih 9,000 pelari muda memenuhi jalan-jalan utamanya sempena larian 'Nike City 10K Kuala Lumpur' yang berlangsung pada 10 Oktober ini.

Pengarah Pemasaran Nike Malaysia, Menaha Nadaraja berkata peserta akan berlumba sejauh 10km melalui tiga jalan utama iaitu Jalan Bukit Bintang, Jalan Ampang dan Jalan Sultan Ismail dalam usaha mereka menjadi juara bandar raya ini.

"Larian ini bertujuan memupuk semangat suka berlari pada kalangan generasi muda Malaysia.

"Sebagai sebahagian program outreach, pelari juga akan diajar cara berlari yang betul menerusi siri 'Nike Training Run' hari ini," katanya ketika pelancaran laluan larian itu, di sini hari ini.

Kuala Lumpur katanya, adalah sebuah daripada 22 bandar raya di seluruh dunia yang menganjurkan larian tersebut.

Beliau berkata pendaftaran kini dibuka dan mereka yang berminat boleh mendaftar untuk menyertai kategori terbuka atau kategori bawah 25 tahun selain kategori sekolah bagi kalangan pelajar.

Pemenang bagi kategori terbuka dan bawah 25 tahun akan menerima hadiah wang tunai RM10,000 masing-masing, sementara bagi kategori sekolah hadiah RM15,000 akan disumbang kepada sekolah terbabit, katanya.

Maklumat lanjut boleh diperolehi di laman web www.nikerunning.com.my. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain