suria

Juara Tujuh Kali WRC Sertai Proton R3 Di San Remo Itali

KUALA LUMPUR: Bekas juara rali dunia tersohor Gilles Panizzi akan mengetuai pasukan Proton R3 Rali Malaysia dengan memandu kereta Proton Satria Neo S2000 pada Rali San Remo ke-52 di Itali, hujung minggu ini.

Pelumba Perancis berusia 45 tahun itu akan memburu gelaran keempat pada pelumbaan tersebut selepas menjuarainya tiga kali berturut-turut sejak 2000 dan menjadi juara dalam tujuh pusingan Kejohanan Rali Dunia (WRC) bersama pasukan Peugeot antara tahun 1999 dan 2003.

Panizzi akan dibantu oleh pemandu Freddy Delorme.

Selain Panizzi, kereta kedua pasukan Proton R3 negara akan dipandu oleh bekas juara dunia kategori pengeluar Niall McShea, pelumba dari utara Ireland, pada rali tersebut, kata pengurus pasukan Datuk Abdul Razak Dawood dalam kenyataan di sini pada Isnin.

Katanya Panizzi akan membawa pengalaman luasnya semasa bersama Peugeot dan Mitsubishi kepada Proton yang cuba membina daya saing dalam siri IRC dengan keputusan yang baik di San Remo.

"Kami mengharapkan keputusan yang menggalakkan pada hujung minggu ini berdasarkan kombinasi kedua-dua pemandu berpengalaman dalam pasukan serta menguji daya saing dan kemampuan kenderaan Satria Neo S2000," katanya.

Rali San Remo telah menarik penyertaan tidak kurang daripada 30 kereta jenis Super 2000 termasuk syarikat pengeluar seperti Fiat, Peugeot dan Skoda.

Pasukan Proton R3 kini memberi tumpuan pada Kejohanan Rali Asia Pasifik musim ini serta menyertai beberapa pusingan terpilih pada IRC dalam usaha melakukan pelarasan halus kepada kereta Satria Neo S2000 sebelum memberi cabaran hebat pada musim tahun depan.

Pada Jun lalu, pasukan itu menyertai Rali Geko Ypres di Belgium tetapi tiga kereta pasukan itu gagal menamatkan saingan kerana masalah teknikal.

Pencapaian terbaik Satria Neo S2000 pada siri IRC ialah naib juara pada Rali Scotland dan tempat keempat pada Rali Russia dalam penampilan sulung pasukan itu tahun lepas. -BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain