suria

Nicol, Wee Wern Mara Ke Pusingan Kedua Terbuka Dunia

KUALA LUMPUR: Ratu Skuasy negara yang juga pemain nombor satu dunia, Datuk Nicol Ann David bermula baik dalam usahanya meraih rekod lima Terbuka Dunia pada pusingan pembukaan kejohanan itu di Sharm El Sheikh, Mesir pada Sabtu.

Nicol hanya mengambil masa 22 minit untuk menumpaskan salah seorang pemain muda paling berpotensi dunia, Farah Abdel Meguid dari Mesir dengan 11-2, 11-3 dan 11-5.

"Saya mahu menyesuaikan diri dengan gelanggang dan berusaha melakukannya secepat mungkin. Menentang Farah untuk pertama kali, saya memberi sedikit tekanan kepadanya bagi memberi lebih masa untuk saya bermain dengan corak permainan saya," katanya dipetik laman web rasmi kejohanan www.sohosquareworldopen.com.

Nicol akan bertemu seorang lagi pemain Mesir yang juga pilihan ke-11, Raneem El Weleily dalam pusingan kedua lewat, Ahad.

Raneem menewaskan rakan senegara berusia 14 tahun Nour El Sherbini dengan 11-3, 11-3 dan 11-7 dalam masa 23 minit.

Sementara itu, seorang lagi pemain negara Wee Wern mengatasi Natalie Grinham dari Belanda dalam perlawanan lima set yang berlanjutan selama 64 minit.

Menang set pertama dengan 11-9 tetapi berjaya disamakan Natalie pada set kedua 11-7 yang turut menguasai set ketiga 11-7. Enggan akur, Wee Wern berjaya menyamakan kedudukan pada set keempat dengan 11-7 sebelum mengakhiri pertarungan 13-11 pada set penentuan.

Wee Wern akan menentang Isabelle Stoehr dari Perancis pada pusingan kedua. Stoehr menewaskan pilihan ke-13 Samantha Teran dari Mexico 11-8, 12-10 dan 11-3 dalam masa 27 minit.

Natalie yang pernah layak ke pertandingan akhir Terbuka Dunia sebanyak empat kali, bermain untuk kali kedua selepas melahirkan anak lelaki Kieran, dan jelas beliau kehilangan sentuhan semasa berdepan dengan Wee Wern.

"Saya lebih fokus kali ini berbanding semasa perlawanan pertama selepas kembali bermain, tetapi saya perlu lebih cergas. Bagi saya masa, tidak ada sebab untuk saya tidak dapat kembali seperti dulu," katanya.

Sementara itu pemain nombor tiga negara Delia Arnold terus dibelenggu nasib malang apabila tewas kepada pilihan kelima Madeline Perry dari Ireland dengan 10-12, 9-11 dan 5-11 dalam masa 49 minit. - BERNAMA

Artikel Lain