suria

MYA Senaraikan 18 Pelayar Untuk Sukan Asia

LANGKAWI: Seramai 18 pelayar dipilih untuk menggalas cabaran Malaysia pada Sukan Asia 2010 di Guangdong Ocean Sports Training Centre (GOSTC) Shanwei, China, mulai 12 hingga 22 Nov ini.

Pengurus Besar Persatuan Pelayaran Malaysia (MYA) Mohd Afendy Abdullah berkata skuad pelayaran Malaysia kali ini adalah yang terbesar pernah dihantar pada temasya sukan itu dengan penyertaan dalam kelas Windsurfing dan Keelboat buat pertama kali.

" Pemilihan pelayar itu dibuat oleh panel jurulatih yang telah dikemukakan kepada Jawatankuasa pemilihan MYA untuk pengesahan," katanya di sini, Ahad.

Menurutnya mereka dipilih berdasarkan prestasi yang ditunjukkan pada beberapa kejohanan dalam dan luar negeri.

Katanya Majlis Olimpik Malaysia (MOM) dan Majlis Sukan Negara (MSN) telah meluluskan kuota penyertaan bagi skuad pelayaran pada temasya sukan itu.

Beliau berkata kesemua pelayar itu sedang menjalani latihan fasa akhir di Kompleks Latihan Perahu Layar Kebangsaan di sini.

Mohd Afendy berkata atlet pelayar negara Mohd Romzi Mohamad akan mengetuai skuad pelayaran Malaysia ke temasya sukan itu.

Seorang lagi pelayar elit, Khairulnizam Mohd Afendy menepati ramalan setelah mengesahkan tempat untuk menggalas cabaran negara bagi kategori Laser Standard.

Khairulnizam, 17, mengenepikan rakan sepasukannya Nik Ashraf Qaedi Nik Azizan yang turut memburu tempat ke Sukan Asia 2010.

Pada Sukan Asia 2006 di Doha, Qatar, Malaysia meraih satu pingat emas menerusi Rufina Tan dalam kelas Optimist.

Mohd Afendy berkata Malaysia mensasarkan meraih lima pingat tapi tidak mempastikan warnanya.

SENARAI PELAYAR: Mohd Romzi Mohamad (Laser Radial) Razman Mat Ali, Ahmad Hakhimi Ahmad Shukri (International 470) Khairunnisa Mohd Afendy, Norashikin Mohamad Sayed (InternaTional 420 wanita) Ku Anas Ku Zamil, Mohamad Hafzuddin Mazelan (International 420 lelaki) Ahmad Latif Khan Ali Sabri Khan (Optimist lelaki) Nurul Izzatul Akmar Muhamad (Optimist wanita) Geh Cheow Lim (Windsurfing RS-X wanita) Koe Sin Yee (Windsurfing MOD wanita) Hadri Zainal Abidin (Windsurfing RSX lelaki), Khairulnizam Mohd Afendy (Laser Standard), Mohd Masyuri Rahmat, Mohamad Farizol Md Rejab, Ahmad Fakhrizan Deraman, Mohd Adib Mohd Ariff dan Mohd Karimi Bakar (Keel Boat).

SENARAI PEGAWAI: Mohd Afendy Abdullah (pengurus pasukan) Abdul Rani Idris (ketua jurulatih/penolong pengurus) Muhammad Sahir A. Rahim (jurulatih Optimist) Andrew Nathaniel Brown (jurulatih International 420 dan 470) Javier Borojovich (jurulatih Laser). - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain