suria

Motul YY Pang Mahu Teruskan Rentak Kemenangan

KUALA LUMPUR: Pasukan Motul Yamaha YY Pang mahu meneruskan rentak kemenangan mereka pada Pusingan 7 Kejuaraan Cub Prix AAM Malaysia Petronas di Stadium Hang Jebat, Melaka pada 25 dan 26 September ini.

Pengurusnya, Y.Y Pang berkata beliau berpuas hati dengan prestasi pelumbanya setakat ini dan berharap pasukan itu akan meneruskan rentak kemenangan dalam kategori kelas CP115 dan Wira.

"Saya gembira kerana kami membuat keputusan tepat untuk hanya menumpukan perhatian dalam kelas CP115 dan Wira dan alangkah baiknya sekiranya kami membawa pulang kedua-dua kejuaraan tersebut musim ini.

"Kami yakin untuk mempertahankan kejuaraan kelas Wira kerana pelumba kami Adib Rosley sedang mendahului dengan 100 mata sementara Mohd Azhar Abdul Jalil, pula sentiasa menaiki tangga podium.

"Ini musim kedua mereka dan kedua-duanya merupakan rakan lumba yang hebat," kata Pang dalam satu kenyataan.

Bagi kategori CP 115 pula, ia masih awal untuk membuat sebarang andaian kerana tahap pertandingan adalah sangat tinggi dengan penyertaan ramai pelumba kuat, katanya.

"Pelumba kami, Mohd Rozaiman Mohd Said mempunyai kelebihan hanya satu mata dengan pelumba di tempat kedua Mohd Ramdan Mohd Rosli dari Petronas Sprinta Yamaha AHM KHI yang mengumpul 101 mata.

"Sekiranya Rozaiman meneruskan kemenangannya dalam empat pusingan lagi yang tinggal, kami mempunyai peluang cerah dan 50-50 untuk menang juara keseluruhan," kata Phang.

Dalam Pusingan 4 hingga 6 yang diadakan di Sepang, Kuala Terengganu dan Teluk Intan, pasukan tersebut sentiasa mengungguli kategori CP115 dan Wira. -BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain