suria

Perlawanan Pahang - Kuala Lumpur Ditunda Kerana Lampu Limpah Tidak Berfungsi

KUANTAN: Perlawanan bola sepak Piala Malaysia antara Pahang dan Kuala Lumpur yang dijadualkan di Stadium Darul Makmur di sini malam Jumaat terpaksa ditunda kerana masalah satu daripada lampu limpah di stadium itu tidak berfungsi.

Naib Presiden 1 Persatuan Bolasepak Negeri Pahang (PBNP) Datuk Omar Othman berkata tarikh baru perlawanan antara kedua-dua pasukan Kumpulan B itu akan ditentukan kemudian.

"Kami tidak menjangka masalah (lampu limpah) itu yang tidak dapat berfungsi dan menyebabkan perlawanan ini terpaksa ditunda. Dan kami tidak menyalahkan pasukan pelawat (minta tunda)...sebab tidak mengikut peraturan yang ditetapkan," kata kepada pemberita di sini Sabtu.

Omar berkata beliau kesal dengan kejadian yang menimpa dan meminta maaf kepada semua penyokong yang hadir bagi menyaksikan perlawanan itu.

Mengenai kekecohan yang ditimbulkan para penyokong di stadium ekoran perlawanan itu ditunda, katanya keadaan berjaya diredakan kira-kira 11 malam tadi selepas penjelasan yang diberikan oleh pihak PBNP serta mengembalikan semula wang tiket perlawanan kepada penyokong berkenaan.

Bagaimanapun, katanya bagi mereka yang masih mempunyai tiket perlawanan malam tadi boleh menggunakan tiket berkenaan pada perlawanan akan datang.

Sebelum itu, sebahagian besar penyokong melaungkan perkataan "duit" beberapa kali supaya pihak pengurusan mengembalikan semula wang mereka dan reda selepas wang harga tiket mereka dipulangkan manakala ada yang tidak menuntut bayaran balik tiket itu.

Dalam jadual perlawanan malam tadi, Omar berkata kira-kira 400 tiket perlawanan berjaya dijual sebelum pihak pengurusan mengumumkan penundaan perlawanan. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain