suria

Shariffudin Sasar Kedudukan Lima Teratas

KUALA LUMPUR: Pelumba pasukan Suzuki M-Seki Liberty, Mohd Shariffudin Shamsudin mahu mencipta kemenangan buat pasukan barunya itu di pusingan ketujuh Kejohanan Cub Prix Petronas AAM Malaysian di Stadium Hang Jebat, Melaka dari 25 hingga 26 September ini.

Sharaffudin, 18, berkata beliau mahu menyudahi kejohanan dengan menduduki lima tangga teratas.

"Ia bukan tugas mustahil," katanya yang bertukar pasukan dari Modenas FortyOne Racing ketika pusingan sebelum ini di Teluk Intan.

Beliau menggantikan Mahadhir Raduan yang terpaksa berehat ekoran kecederaan lama pada kakinya yang berulang kembali.

Sharaffudin akan bersaing dengan rakan sepasukan seperti Elly Idzliaikmal Ilias, 24, dan Sasitharen Sukumaran, 19, dalam kategori CP115.

Walaupun merupakan pelumba termuda dalam pasukannya, beliau memungut 3 mata apabila pertama kali menunggang jentera Suzuki dengan menduduki tangga ke-12 di Teluk Intan.

Beliau kini menduduki tangga ke-15 keseluruhan dengan memungut 17 mata sementara Sasitharen dan Elly masing-masing terikat di kedudukan ke-19 dengan memungut 12 mata.

"Saya percaya Elly, Sasitharen dan saya akan menjadi barisan pelumba yang kuat, katanya.

Pengurus pasukan, Chong Kok Ming berkata beliau berharap Shariffudin akan meningkatkan prestasinya.

"Saya tidak memberi sebarang tekanan kepada Shariffudin tetapi saya berharap di empat pusingan seterusnya, dia akan terus memungut mata.

"Dia bermula baik di Teluk Intan dan saya percaya dia akan terus mengekalkan prestasinya," katanya. -BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

EPL: Stoke City 2 - 1 Aston Villa

Artikel Lain