suria

Sukan Asia: Tiada Sebarang Sandaran Pada Pasukan Kriket Negara

KUALA LUMPUR: Pasukan kriket negara tidak diletakkan sebarang harapan tinggi untuk meraih sebarang pingat pada Sukan Asia di Guangzhou, China pada November ini memandangkan ia terpaksa bersaing dengan banyak pasukan handalan antarabangsa lain.

"Kita hanya mensasarkan sehingga ke peringkat separuh akhir. Itu pun sudah dikira bagus jika dibandingkan pencapaian pada Sukan Asia terdahulu di mana kita tersingkir sejak peringkat kumpulan lagi," kata Ketua pasukan bawah 23 tahun, Leftenan Kolonel Gerard Denis Singam kepada Bernama.

Bagaimanapun pasukan negara yang mampu membuat satu dua kejayaan yang tidak diduga di peringkat antarabangsa sebelum ini diharapkan dapat membuat sesuatu kejutan di Guangzhou nanti, katanya.

"Mereka perlu diberi lebih pendedahan dan pengetahuan mengenai permainan kriket agar suatu hari nanti kriket negara mampu setanding dengan nama-nama besar dalam kriket antarabangsa," katanya.

Gerard berkata 18 pemain negara yang dipilih ke Guangzhou kebanyakannya adalah terdiri daripada pelajar Universiti Kebangsaan Malaysia, Maktab Tentera Udara Diraja selain pemain dari kelab-kelab yang telah berlatih sejak dua tahun lalu.

"Mereka telah menunjukkan sesuatu yang memberangsangkan selepas dua tahun lalu di mana pada November tahun lepas, kita mengalahkan Tentera Udara Diraja Australia pada kejohanan International Defence Cricket Challenge di Manuka Oval, Canberra, Australia.

"Ini ditambah lagi dengan kemenangan mengejut pasukan negara mengalahkan tuan rumah Papua New Guinea dalam kejohanan antarabangsa Air Niugini Super Series T20 di Port Moresby, New Guinea pada 5 September lepas," katanya.

Gerard berkata pasukan negara mempunyai potensi besar untuk berjaya selepas mengalahkan pasukan Papua New Guinea yang menduduki ranking 12 teratas dunia.

"Ini mencatatkan satu pencapaian yang memberangsangkan kerana pasukan yang dibentuk ini mempunyai satu keserasian antara pemain dalam menangani perlawanan tersebut dan merupakan penanda aras untuk terus berjaya," katanya.

Beliau berkata para pemainnya akan menentang pasukan dari Australia Barat dalam perlawanan persahabatan di Kelab Diraja Selangor di Bukit Kiara Ahad ini sebagai persiapan sebelum ke Guangzhou.

"Kami akan mula berlatih di Padang Kinrara petang ini sebelum bertemu pasukan Western Australian Cricket Association itu. Saya baru mendapat pengesahan untuk perlawanan persahabatan tersebut daripada Majlis Kriket Antarabangsa," katanya.

Senarai pemain yang bakal ke Guangzhou:

1. Suhan Kumar Alagaratnam

2. Ahmad Faiz Bin Mohd Noor

3. Rakesh Madhavan

4. Faris Almas Lee Rosmanizam

5. Mohd Shafiq Bin Mohd Sharif

6. Suresh Navaratnam

7. Anwar Aruddin

8. Mohd Shahrul Nizam Bin Mohd Yusof

9. Mohd Shukri Bin Abdul Rahim

10. Esrafiq Bin AB Aziz

11. Nik Azril Bin Arifin

12. Derek Michael

13. Aminudin Bin Ramly

14. Muhd Faruq Hakimin

15. Mohd Arifin Bin Ramly

16. Mohd Suharril Fetri bin Shuib

17. Kevintheran

18. Mohamad Norwira Zazmie bin Abdul Halim - BERNAMA

Artikel Sebelum

Wenger Bangga Kebangkitan Fabregas

Artikel Berikut

Guardiola Tak Salahkan Pemain

Artikel Lain