suria

Jurulatih Negara Yakin Kemampuan Pemain Golf Tempatan

KUALA LUMPUR: Jurulatih golf kebangsaan V. Gunalan menjangka pasukan Malaysia akan terus menyerlah pada edisi ke-lima Kejohanan 100Plus Terbuka Remaja Malaysia yang akan berlangsung di Nexus Golf Resort Karambunai di Kota Kinabalu, Sabah, selama empat hari mulai Khamis ini. Katanya beliau yakin dengan kemampuan pasukan negara berdasarkan kepada senarai pemain yang dianggapnya sebagai barisan cukup mantap yang ditampilkan tahun ini. "Walaupun tanpa kehadiran Gavin Kyle Green yang terpaksa memberi tumpuan kepada peperiksaan SOM, semua empat pemain remaja terbaik negara akan beraksi di Kota Kinabalu nanti," katanya dalam satu kenyataan, Selasa.

Beliau berkata dalam kategori lelaki, Chan Tuck Soon yang menduduki tempat ke-10 dalam British Junior Open, akan mengambil bahagian dalam acara berpasukan dengan gandingan Jeremiah Kim, Paul San, Mohammad Asyraf Rosli dan Low Khai Jei.

Sementara itu Kelly Tan akan menerajui berpasukan perempuan yang disertai oleh Isza Fariza Ismail, Nurdurriyah Damian dan Loy Hee Ying, katanya.

Gunalan berkata Kelly mempamerkan aksi yang mantap sejak kebelakangan ini dan sudah melayakkan diri untuk menyertai kejohanan berprestij LPGA Malaysia di Kuala Lumpur Golf and Country Club (KLGCC) pada 22 hingga 24 Oktober ini.

"Selain itu Tuck Soon yang memenangi pingat emas Sukan Malaysia Jun lepas juga mempamerkan aksi cemerlang sejak kebelakangan ini. Jeremiah pula mencipta sejarah tersendiri apabila beliau menjadi rakyat Malaysia pertama memenangi kejohanan Singapore Junior Open," katanya.

Dalam edisi tahun lepas, gandingan Kelly dan Gavin berjaya membantu Malaysia memenangi acara berpasukan dan kedua mereka turut mengungguli acara kategori lelaki dan perempuan bawah 16 tahun, dan juga acara keseluruhan.

Malaysia turut merangkul pingat emas bagi acara lelaki bawah-18 dan bawah-14 tahun menerusi Abel Tam dan Low Khai Jei, manakala Joanne Lagan memenangi gelaran juara perempuan bawah-18.

Bagaimanapun pemain Thailand Suchaya Tangkamolpraset menghalang pasukan Malaysia daripada menyapu bersih gelaran juara semua kategori pada kejohanan itu apabila beliau muncul juara acara perempuan bawah-14 tahun.

Sementara itu Presiden Pertubuhan Golf Malaysia (MGA) Datuk Robin Loh berkata beliau tidak meletakkan sasaran pungutan pingat, tapi pastinya beliau akan merasa bangga sekiranya pemain negara dapat beraksi cemerlang dalam kejohanan itu. "Pemain negara tahu bahawa Kejohanan 100PLUS Terbuka Remaja Malaysia adalah satu acara penting kerana ia akan membantu negara dalam memilih pasukan untuk pelbagai kejohanan akan datang seperti Sukan Asia di Guangzhou pada 12-27 November dan Piala Putra di Royal Selangor Golf Club (RSGC) dari 27 September hingga 1 Oktober," katanya. Seramai 120 pemain golf dari Taiwan, Papua New Guinea, India, Hong Kong, Filipina, Singapura, India, Vietnam, Thailand, Kemboja, Korea Selatan dan tuan rumah Malaysia mengambil bahagian dalam kejohanan 100Plus Terbuka Remaja Malaysia nanti. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Wan Jamak Tidak Mahu Dabik Dada

Artikel Berikut

Artikel Lain