suria

Zulfahmi Kekang Rindu Kepada Keluarga Untuk Buru Impian

KUALA LUMPUR: Biarpun terpaksa berjauhan dengan sanak-saudara dan keluarga tercinta sempena sambutan Hari Raya tahun ini, pelumba negara, Zulfahmi Khairuddin akur dengan tuntutan yang perlu beliau hadapi untuk merealisasi impian sebagai pelumba motorsikal profesional.

Tahun ini, kali pertama beliau terpaksa beraya jauh di perantauan dan mengakui merindui masakan ibunya sempena sambutan Hari Raya.

"Bohonglah kalau saya kata saya tak rindu keluarga di kampung...terutama sekali masakan ibu dan bermaafan bersama keluarga pada pagi Hari Raya.

"Semua itu terpaksa saya letak ketepi dahulu, tumpuan saya kini adalah untuk menjadi pelumba profesional dan keluarga saya amat memahaminya," kata pelumba berusia 18 tahun dari Banting, Selangor itu kepada Bernama ketika ditemui pada perlumbaan Grand Prix San Marino, Itali baru-baru ini.

Beliau yang berlumba untuk pasukan AirAsia-Sepang International Circuit Racing itu setakat ini telah mengumpul tiga mata daripada 12 perlumbaan kategori 125cc.

"Masa saya balik ke Malaysia awal bulan lepas (Ogos), emak dah bekalkan saya dengan pelbagai jenis kuih-muih untuk dibawa pulang ke Itali. Emak saya memang menjual kuih raya, jadi kuih raya tu saya kongsi dengan rakan-rakan di sini," katanya.

Zulfahmi berkata dalam kesibukan menjalani latihan di Itali, rasa rindunya kepada keluarga di Malaysia diubati dengan sering membuat panggilan telefon ke Malaysia.

Selain menghubungi keluarga melalui telefon, kerinduaan beliau sedikit sebanyak terubat dengan kata-kata perangsang yang diperoleh daripada peminat dan penyokongnya melalui "Fan Page" di laman sosial Facebooknya.

Zulfahmi perlu menghadapi dua lagi perlumbaan iaitu Grand Prix Aragon, Sepanyol minggu ini (19 September) dan Grand Prix Jepun (3 Oktober) sebelum pulang ke Malaysia bagi menghadapi Grand Prix Malaysia pada 10 Oktober depan.

"Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada semua pihak terlibat, pihak penaja, media dan rakyat Malaysia yang tidak henti-henti memberi sokongan kepada saya selama ini.

"Saya berharap dapat melakukan yang terbaik di Sepang pada Oktober depan," katanya.

Katanya, sudah pasti rakyat Malaysia mahukan beliau mencipta kejayaan cemerlang di gelanggang sendiri, dan beliau akan berusaha bersungguh-sungguh untuk tidak menghampakan mereka.

"Ia seolah-olah macam mimpi. Semuanya berlaku dengan pantas. Kini cita-cita saya untuk suatu masa berlumba dalam perlumbaan GP dunia sudah tercapai. Saya tidak akan menoleh ke belakang lagi," katanya.

Beliau mengakui bahawa bukan mudah bagi dirinya sebagai muka baru untuk mula bertapak dalam arena perlumbaan dunia, dan menurutnya beliau terpaksa mencari peluang serta ruang untuk menonjolkan bakatnya di kalangan pelumba-pelumba yang berpengalaman.

"Bukan mudah untuk berada dalam kedudukan 15 terbaik dalam setiap perlumbaan. Kebanyakan pelumba lain sudah lima atau enam tahun pengalaman," kata pelumba yang kini berpusat di Bologna, Itali.

Memandangkan minggu ini tiada perlumbaan baginya, Zulfahmi dan rakan sepasukannya, Sturla Fagerhaug dari Norway telah dijemput menjadi tetamu oleh pasukan F1 Lotus Racing pada perlumbaan di Litar Monza di Itali, Ahad. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Terry Kembali Beraksi

Artikel Berikut

Alonso Unggul Di Grand Prix Itali

Artikel Lain