suria

Skuad Ekuestrian Yakin Bawa Pulang Satu Emas Dari Guangzhou

KUALA LUMPUR: Skuad ekuestrian negara yakin untuk membawa pulang sebutir pingat emas menerusi acara dressage berkumpulan dari Sukan Asia di Guangzhou, China yang akan berlangsung dari 12 hingga 27 November depan.

Pengurus skuad ekuestrian Wan Zaleha Radzi berkata sandaran tersebut berdasarkan kelebihan dari segi gandingan pengalaman dan kemahiran yang ada pada setiap penunggang negara.

"Kita mempunyai kombinasi penunggang dan kuda yang baik dan itulah kelebihan yang ada pada skuad negara berbanding dengan negara lain.

"Lagipun kita pernah mendapat pingat perak bagi acara tersebut ketika Sukan Asia di Doha pada 2006," kata bekas personaliti televisyen itu kepada Bernama di sini.

Ketika beraksi di Doha pada empat tahun lepas, skuad ekuestrian berjaya mengutip satu pingat perak dan dua pingat gangsa. Wan Zaleha berkata skuad kebangsaan bagaimanapun perlu berhati-hati dengan pasukan dari negara Asia Barat seperti Qatar dan Arab Saudi yang sejak dari dahulu mendominasi sukan tersebut.

Beliau berkata peluang bagi skuad negara dalam acara dressage lebih cerah berbanding acara lain kerana pengadilan bagi acara tersebut adalah subjektif dan penunggang kita mempunyai kelebihan tersendiri.

Empat penunggang negara yang terpilih untuk merealisasikan sasaran emas dari Guangzhou ialah Mohd Qabil Ambak Mahamad Fathil, Quzandria Nur Mahamad Fathil, Putri Alia Soraya Ahmad Suhaimi dan Lee Cheng Ni.

Sementara itu dalam perkembangan lain beliau memberi jaminan bahawa skuad ekuestrian negara tidak akan mengalami ketandusan penunggang pada masa hadapan.

"Kita sentiasa berusaha untuk mencari bakat-bakat baru agar keadaan tersebut tidak membelenggu kita pada masa hadapan dan usaha ini sentiasa dijalankan," katanya. - BERNAMA

Artikel Lain