suria

Piala Malaysia: T'Team Harap Dapat Satu Mata Lawan Selangor

KUALA TERENGGANU: Pendatang baru, T'Team yakin laluannya ke peringkat suku akhir Piala Malaysia, cerah jika dapat mengatasi Selangor pada perlawanan pembukaan di Stadium Shah Alam, Selasa ini.

Jurulatihnya Che Ku Marzuki Che Ku Mohd Nor berkata ini kerana biasanya untuk mengatasi pasukan berpengalaman seperti Selangor adalah sukar dan perit apatah lagi bermain di gelanggang mereka.

"Kita mahu bawa balik satu mata sekurang-kurangnya, tetapi kalau kita menang itu adalah bonus," katanya kepada Bernama ketika dihubungi di sini hari ini.

Che Ku Marzuki berkata berdasarkan pengalaman barisan pemain T'Team, yang terdiri daripada bekas pemain negeri, laluan T'Team untuk memungut satu mata adalah cerah.

Katanya semangat para pemain T'Team untuk menghadapi juara Liga Super musim ini begitu tinggi dan berkobar-kobar.

Che Ku Marzuki berkata semua pemain utama T'Team boleh diturunkan untuk menghadapi Selangor, kecuali pemain pertahanan Shahrul Ezrain Shamsuddin kerana menerima tiga kad kuning dalam pertandingan Liga Super.

Beliau berkata T'Team akan membuat persiapan terakhir sebelum turun menentang Selangor iaitu hari ini dan esok bagi memastikan stamina pemain-pemain stabil.

"Dalam bulan puasa baru-baru ini, kita mengadakan beberapa perlawanan persahabatan dengan pasukan Terengganu bagi memanaskan badan," katanya.

Dalam pertandingan awal, T'Team ditempatkan dalam kumpulan D bersama-sama pasukan Selangor, KL Felda United dan Perlis.

Che Ku Marzuki berharap penyokong-penyokong T'Team, yang berada di Lembah Klang, akan memberikan sokongan moral apabila pasukan itu bertemu Selangor di Stadium Shah Alam nanti. - BERNAMA

Artikel Lain