suria

Mariappan Perlu Lakukan Angkatan Terbaik Di New Delhi Untuk Ke London

KUALA LUMPUR: Atlet powerlifting negara, P. Mariappan berazam melakukan angkatan terbaik pada Sukan Komanwel di New Delhi, India Oktober ini bagi mencari tiket mudah ke Sukan Paralimpik di London pada 2012.

Pemenang pingat gangsa pada Sukan Paralimpik Barcelona 1992 itu berkata untuk layak ke London, dia terlebih dahulu perlu melakukan angkatan 190kg di New Delhi.

"Saya perlu guna sebaik-baiknya peluang mengumpul mata dan memperbaiki ranking dunia di New Delhi untuk ke London kerana cabaran pada Sukan Komanwel lebih mudah berbanding di Sukan Asia," katanya kepada Bernama di sini.

Mariappan, 52, berkata untuk mencapai sasaran itu beliau perlu melipatgandakan usaha terutama bila angkatan peribadi terbaiknya ialah 180kg, yang dicatatnya pada temasya Paralimpik Beijing 2008.

Meskipun kekurangan 10kg berbanding 190kg yang menjadi halangannya ke London, Mariappan percaya dia mampu melepasi berat itu dengan persiapan selama sebulan setengah sebelum Sukan Komanwel bermula dari 3 hingga 14 Oktober. Atlet yang pernah beraksi dalam lima temasya paralimpik sebelum ini berkata beliau tetap tidak memandang rendah kepada saingan di New Delhi nanti kerana sejak kebelakangan ini ramai atlet muda berbakat lahir dari negara Timur Tengah seperti Iran dan Mesir.

Mariappan berkata kegagalan memperoleh pingat pada Kejohanan Powerlifting Jawatankuasa Paralimpik Antarabangsa (IPC) yang berlangsung di Stadium Titiwangsa, di sini Julai lepas tidak sedikitpun mematahkan semangatnya.

"Walaupun sedikit kecewa...saya masih berpuashati dengan angkatan yang dilakukan kerana ia mencapai tahap sasaran individu," katanya. - BERNAMA

Artikel Lain