suria

Skuad Powerlifting Sasar Satu Pingat Di New Delhi

KUALA LUMPUR: Skuad powerlifting negara mahu membawa pulang sekurang-kurangya satu pingat tanpa mengira warna, menerusi acara paralimpik di Sukan Komanwel di New Delhi, India yang berlangsung dari 3 hingga 14 Oktober ini.

Jurulatihnya Zulkarnain Ibrahim berkata sandaran tersebut dibuat berdasarkan kejayaan anak didiknya mencapai sasaran angkatan peribadi pada Kejohanan Powerlifting Jawatankuasa Paralimpik Antarabangsa (IPC) 2010 yang berlangsung di ibu negara Julai lepas.

"Walaupun kita gagal meraih sebarang pingat pada kejohanan tersebut, sebilangan besar atlet berjaya mencapai sasaran yang telah ditetapkan.

"Kejayaan ini akan banyak membantu mereka bila beraksi di New Delhi nanti," katanya kepada Bernama di sini.

Beliau berkata bagi menggalas cabaran tersebut, Malaysia akan menghantar empat atlet powerlifting iaitu P.Mariapan (kategori 75 kilogram), Siow Lee Chan (67.5kg), Mohd Shamil Mohd Saad (90kg) dan Sharifah Raudzah Syed Akil (82.5kg).

"Ini adalah peluang terbaik bagi Mariapan dan Siow untuk mengumpul mata kelayakan ke Paralimpik London 2012 kerana saingan di peringkat Sukan Komanwel adalah lebih mudah berbanding dengan cabaran di Sukan Para Asia di Guangzhou, China pada November nanti," katanya.

Zulkarnain berkata beliau juga meletakkan harapan tinggi kepada atlet muda, Mohd Shamil yang dijangka mampu membuat kejutan di New Delhi.

Bagi acara paralimpik di Sukan Komanwel, selain daripada powerlifting, Malaysia turut menghantar atlet untuk acara renang dan olahraga.

Acara paralimpik menjadi sebahagian daripada Sukan Komanwel dan pingat yang diperolehi dikira dalam pungutan pingat keseluruhan. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain