suria

Ragesh, Shahruddin Dipinjamkan Ke Skuad Rusa Hadapi Piala Malaysia

SEREMBAN: Jurulatih Negeri Sembilan, Wan Jamak Wan Hassan mendapatkan khidmat ketua pasukan Johor L. Rajesh dan penjaga gol utama Pos Malaysia Shahruddin Ismail untuk dipinjamkan bagi mengharungi kempen Piala Malaysia 2010 yang bermula pada 14 September ini.

Katanya kehadiran dua pemain itu diyakini mampu memantapkan skuad Rusa dalam saingan Piala Malaysia.

"Perkara yang diberi keutamaan untuk menghadapi Piala Malaysia ini ialah memperkuatkan jentera serangan dan Ragesh akan bertindak sebagai penyerang simpanan manakala Shahruddin bertindak sebagai penjaga gol simpanan," katanya kepada Bernama di sini, Khamis.

Sementara itu, katanya pemain adik-beradik Zaquan Adha Abdul Razak dan Aidil Zafuan yang bersama-sama skuad kebangsaan tidak dapat diturunkan pada 14 September ini kerana Zaquan mengalami kecederaan lutut yang memerlukan pemeriksaan rapi manakala Aidil pula digantung satu perlawanan setelah menerima tiga kad kuning semasa pertandingan Liga Super yang berakhir baru-baru ini.

Bagaimana pun, katanya tugas Zaquan dan Aidil masing-masing akan digalas oleh Norizam Salaman dan Rahman Zabul. Mengenai perlawanan dengan Kelantan, Wan Jamak berkata pada keseluruhannya pemain telah bersedia untuk mengharungi perlawanan tersebut.

Katanya walaupun terdapat beberapa pemain yang mengalami kecederaan kecil, namun ia tidak membimbangkan.

Beliau berharap pemain fokus untuk membawa pulang mata kemenangan.

Wan Jamak berkata pemain diberi cuti Hari Raya Aidilfitri selama tiga hari mulai Rabu dan akan turun untuk menjalani latihan pada Sabtu dan Ahad ini sebelum bertolak ke Kelantan pada Isnin (13 September).

Pada perlawanan Piala Malaysia 2010 ini, Negeri Sembilan yang merupakan juara bertahan diletakkan dalam Kumpulan A bersama Kelantan, Kuala Lumpur PLUS FC dan Selangor PKNS. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain