suria

PLBT Jumpa Pelumba Pasukan Benua Terengganu Sempena Raya

KUALA TERENGGANU: Persatuan Lumba Basikal Terengganu (PLBT) akan mengambil peluang Hari Raya Aidilfitri ini untuk berbincang dengan pelumba-pelumba basikal benua Terengganu.

Yang di-Pertuanya Datuk Ahmad Sidi Ismail berkata ini kerana pada hari tersebut pelumba-pelumba berkenaan akan balik beraya di Terengganu.

"Kita akan ambil peluang hari raya ini untuk berbincang dengan pelumba anak Terengganu yang berminat menyertai pasukan ini," katanya kepada Bernama, di sini, Khamis.

Antara pelumba itu ialah Mohd Zamri Salleh, Mohd Shahrul Afiza Fauizan, Ahmad Ridzuan Zainal, Mohd Haidar Anuawar, Mohd Hariff Salleh, Mohd Sharul Mat Amin, Mohd Adiq Husainie Othman, Yusrizal Usoff dan Mohd Faiz Syarifuddin K. Kadir.

Ahmad Sidi berkata pasukan tersebut dijangka akan ditubuhkan selepas Hari Raya Aidilfitri ini.

Beliau berkata penubuhan pasukan tersebut sebagai persediaan untuk menghadapi kejohanan dalam dan luar negara pada tahun depan.

Ahmad Sidi berkata PLBT telah memilih pelumba-pelumba yang cemerlang dan menunjukkan prestasi yang baik dalam acara lebuh raya.

Beliau berkata kemungkinan besar PLBT tidak menggunakan khidmat semua pelumba, dan ini membolehkan mereka mewakili negara bersama pelumba-pelumba negeri yang lain.

Ahmad Sidi berkata Mohd Hariff Salleh, masih lagi bernaung di bawah Majlis Sukan Negara (MSN) dan tidak berkhidmat dengan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) seperti dilaporkan sebuah akhbar kelmarin.

Katanya PLBT telah mengatur rancangan jangka pendek dan panjang dan mempunyai sikap terbuka tidak seperti didakwa sesetengah pihak.

Beliau berkata kemungkinan pada suatu masa nanti, Terengganu akan mengambil pelumba-pelumba bertaraf dunia seperti dari Jepun, Korea atau Iran untuk memantapkan pasukan benua Terengganu. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain