suria

Nurrahimin Tekad Mahu Lakar Kejayaan

KUALA LUMPUR: Penembak kebangsaan Nurrahimin Abdul Halim, yang bakal beraksi buat julung kalinya di Sukan Komanwel di New Delhi dan Sukan Asia di Guangzhou, berazam menjadikan kedua-dua temasya itu sebagai medan mengukir nama di pentas antarabangsa.

Pemenang tiga pingat emas dan satu perak pada Sukan Malaysia (Sukma) di Melaka Jun lepas itu berada dalam skuad pelapis, sebelum dinaikkan ke skuad elit.

"Saya rasa bangga dengan pengiktirafan itu kerana selepas empat tahun menjadi atlet pelapis, usaha saya selama ini tidak sia-sia, saya juga berasa sangat teruja apabila layak beraksi ke Sukan Komanwel dan Sukan Asia.

"Pada Sukan Komanwel nanti saya mesasarkan satu pingat tanpa mengira warna, begitu juga dengan Sukan Asia," katanya, Selasa.

Nurrahimin berkata dia menjangka saingan hebat dari penembak India di Sukan Komanwel dan penembak China di Sukan Asia memandangkan kedua-dua negara itu mempunyai penembak yang hebat.

Sukan Komanwel akan berlangsung di New Delhi, India dari 3-14 Oktober, manakala Sukan Asia di Guangzhou, China dari 12 hingga 27 November. Selain dua temasya besar itu, Nurrahimin juga terpaksa membahagikan jadual masanya sebaik mungkin untuk tidak menyisihkan kepentingan peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia yang akan didudukinya November ini.

"Peperiksaan SPM diadakan pada hujung tarikh berlangsungnya Sukan Asia. Saya masih sempat untuk mendudukinya," katanya.

Kejayaan penembak muda yang turut meraih satu pingat perak pada Sukan SEA di Laos tahun lepas diakui oleh setiausaha eksekutif Persatuan Menembak Kebangsaan (NSAM), Mejar Jasni Shaari yang menyifatkan Nurrahimin sebagai berpotensi untuk melangkah lebih jauh dalam mengharumkan nama negara.

"Dia merupakan penembak termuda dalam skuad elit NSAM tetapi keupayaannya setaraf penembak senior. Sebab itulah NSAM menghantarnya ke Sukan Komanwel dan Sukan Asia walaupun dia mungkin sedikit kekurangan dari segi pengalaman," katanya.- BERNAMA

Artikel Sebelum

MB Terengganu Kesal Kecaman PKBM

Artikel Lain