suria

Lebih 40 Negara Sahkan Sertai Kejohanan IODA Dunia 2010

LANGKAWI: Sebanyak 48 negara telah mengesahkan akan menyertai Kejohanan Layar International Optimist Dinghy Association (IODA) Dunia 2010/2011 di Kompleks Latihan Perahu Layar Kebangsaan di sini mulai 28 Disember hingga 8 Januari 2011.

Pengerusi Jawatankuasa kejohanan itu Datuk Abu Bakar Taib berkata selain Malaysia, negara yang turut mengesahkan penyertaan termasuk Brazil, Itali, Turki, United Kingdom, Jerman, Finland, Norway, Australia, New Zealand, Hong Kong, Thailand dan Singapura.

"Penganjur mensasarkan dapat menarik lebih 60 negara menyertai kejohanan itu yang dipertandingkan setiap tahun," kata Abu Bakar yang juga anggota Parlimen Langkawi, Isnin.

Katanya kategori Optimist individu dan berpasukan lelaki serta wanita dipertandingkan pada kejohanan 12 hari itu yang dianjurkan Persatuan Pelayaran Malaysia (MYA).

Abu Bakar yang juga Presiden Persatuan Perahu Layar Kedah berkata Malaysia adalah juara berpasukan manakala pelayar pelapis kebangsaan, Faizal Norizan merupakan naib johan individu pada kejohanan yang sama berlangsung di Brazil tahun lepas.

Beliau berharap Malaysia akan menunjukkan persembahan cemerlang untuk meraih kejayaan kerana berlangsung di tempat sendiri.

"Kita sedang membuat persiapan rapi bagi menganjurkan kejohanan berprestij itu," katanya.

Beliau yakin penghormatan yang diberikan kepada Malaysia menganjurkan kejohanan besar seperti itu akan mempromosikan negara di mata dunia.

"Ini akan memperkenal negara ini sebagai destinasi pelayaran bagi menarik lebih ramai pelayar dan pelancong ke Malaysia," katanya.

Sebelum ini, Malaysia turut dipilih menjadi tuan rumah Kejohanan Layar IODA Asia 2010 yang berlangsung di sini dan disertai lebih 20 negara.- BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain