suria

Pelari Malaysia, Singapura Bersaing Dalam Perlumbaan Nike 10K Kuala Lumpur

KUALA LUMPUR: Pelari muda dari Malaysia dan Singapura akan beradu kehebatan dalam perlumbaan Nike 10K Kuala Lumpur pada 10 Oktober ini untuk merebut mahkota juara bandar raya.

Pengurus Pemasaran Negara Nike Malaysia Menaha Nadaraja berkata saingan sengit antara dua bandar raya berkenaan akan mendorong pelari Malaysia untuk berusaha habis-habisan membawa kemenangan kepada Malaysia dan sekali gus meraih hadiah AS$30,000 (RM93,600)untuk disumbangkan kepada rumah kebajikan Hope Malaysia, manakala pelari Singapura pula akan berusaha mencari kemenangan sebagai hadiah untuk Persatuan Kanak-kanak Singapura.

"Nike City 10K membuktikan komitmen Nike dalam sukan larian dengan matlamat untuk menyediakan pengalaman unik kepada peserta untuk menyertai larian yang diiringi muzik, hiburan dan sedikit sebanyak persaingan.

"Harapan kami ialah untuk melihat lebih banyak anak muda menyertai sukan larian dan mencabar kemampuan masing-masing atau kemampuan rakan mereka dengan meluaskan jaringan hubungan komuniti pelari secara dalam talian," katanya dalam kenyataan di sini Ahad.

Perlumbaan Nike City 10K Singapura akan diadakan pada 24 Oktober.

Nike menyasarkan lebih 10,000 pelari mengambil bahagian dalam acara itu dengan lebih 6,000 daripada mereka berusia bawah 25 tahun.

Pendaftaran bagi menyertai perlumbaan itu sedang dibuka dan mereka yang berminat boleh mendaftarkan diri untuk menyertai kategori Terbuka (Lelaki/ Wanita) atau kategori Bawah 25 Tahun (Lelaki/Wanita).

Pelari muda juga boleh menyertai kategori Sekolah, yang terbuka kepada pelajar sekolah menengah, maktab dan universiti.

Yuran pendaftaran ialah RM10 bagi peserta berusia 24 tahun dan ke bawah dan RM50 bagi yang berusia 25 tahun dan ke atas, yang meliputi kos kemeja T perlumbaan Nike City 10K serta hadiah untuk peserta yang berjaya menghabiskan perlumbaan.

Perlumbaan Nike City 10K diadakan di 22 negara dengan Malaysia dan Singapura mewakili Asia Tenggara.

Maklumat lanjut tentang perlumbaan ini boleh didapati dengan melayari http://www.nikerunning.com.my. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Beckham Turun Padang

Artikel Lain